Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Awie harap filem sulung kembalikan NGO ke landasan Quran, sunnah

Tampil dengan buah tangan sulung, Awie berharap dia mampu membersihkan imej sebuah NGO Melayu yang disertainya melalui filem Rebel: Berontak Untuk Berotak yang dibidaninya.

Bahkan, penyanyi, pelakon dan pengarah itu juga yakin melalui karya seni itu dia dapat mengembalikan pertubuhan berkenaan ke laluan yang sepatutnya "berlandaskan al-Quran dan sunnah".

“Penonton yang menyaksikan filem ini mungkin akan terdetik: apakah hala tuju sebenar mereka yang berpersatuan.

“Kita tidak mahu apabila bercakap soal persatuan begini, semua akan berfikir ia bersangkut-paut dengan kongsi gelap. Itu tak benar sama sekali.

“Kita ikut sunnah Rasulullah, 30 juzuk al-Quran dijunjung; tapi apabila datang segelintir buat tahi (onar), mereka ini yang merosakkan nama persatuan,” katanya.

Meskipun imejnya sering dipandang serong, vokalis Wings itu beranggapan matlamat pertubuhan terbabit jauh lebih “murni” berbanding sikap segelintir ahli politik.

Katanya, hal berkenaan dapat dilihat apabila wujudnya ahli politik yang kerap dilihat cuba memecah-belahkan rakyat.

“Berpersatuan bukan perkara baru. Ahli-ahlinya mungkin ada di sekeliling kita. Cuma kita tidak mahu ambil tahu.

“Kalau kita cuba cari tahu sedikit, mungkin kita akan tahu berpersatuan lebih bagus daripada parti politik.

“Mereka ini mementingkan soal kekeluargaan, tidak menjatuhkan satu sama lain, perjalanan mereka juga lebih murni,” katanya ketika ditemui pada majlis pratonton filem berkenaan di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya kelmarin.

Bukan isu benang basah

Rebel: Berontak Untuk Berotak merupakan filem aksi menceritakan kisah perseteruan dua ahli pertubuhan yang sama, iaitu Luka dan Bono.

Selain Awie, filem itu turut dijayakan Ben Ali, MK K-Clique, Azlan Komeng, Shiqin Kamal dan Nor Albaniah. Ia bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 2 Mei ini.

Pada masa sama, Awie juga berharap orang ramai tidak terlalu cepat menjatuhkan hukum pada mesej cuba diketengahkan dalam filem berkenaan.

Katanya, hal itu kerana dia bukan cuba menegakkan benang yang basah sebaliknya cuba memperbaiki kelemahan yang ada.

“Lihat dulu apa cuba dipersembahkan dan diperjuangkan dalam filem ini. Kalau tidak tengok, tapi terus komen, itu tidak adil.

“Betulkan fikiran negatif sebab kita bukan nak tegakkan benang basah, tapi cuba tambah benda yang elok,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS