Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sedar diri, Chew Kin Wah enggan berlagak macam diva

Menyedari usia hampir mencecah 60 tahun, pelakon Chew Kin Wah berasakan tidak wajar untuk dia berlagak seperti diva atau membantah kehendak pengarah dengan sewenang-wenang.

Justeru, sedar keberadaannya itu maka dia memberikan kerjasama penuh agar dapat memenuhi apa jua tuntutan skrip.

Hal itu, katanya, menyebabkan dia berlapang dada menjayakan babak separuh bogel walaupun tidak dimaklumkan terlebih dulu bahawa dia perlu membuat kemunculan dengan hanya berseluar dalam.

“Tidak (tidak dimaklumkan perlu berseluar dalam), tapi pengarah ada beritahu akan ada babak saya dibelah. Saya sudah jadi mayat ketika itu.

“Jadi, saya tidak terkejut kerana secara logiknya takkanlah watak yang nak dibedah perlu pakai baju.

“Saya ikut saja skrip kerana tidak boleh jadi diva di Malaysia terutama pada usia begini,” katanya.

Bahkan menurut pelakon yang kini popular di Indonesia itu, dia terbuka melakonkan babak berkenaan kerana ia bersesuaian dengan jalan cerita dibawa filem tersebut.

Malah kata Kin Wah ia hanyalah hal kecil pengarah bukanlah memaksannya melakukan adegan pornografi.

“Bagi saya tiada apa, ini hal kecil. Ia halal, kan? Saya bukan bersetubuh atau berbogel,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Lubuk yang berlangsung di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Filem bergenre thriller psikologi arahan Mark Lee itu berkisahkan rumah perlindungan yang menyembunyikan 1,001 rahsia gelap ketika pada luarannya ia terkenal dengan aktiviti menyelamatkan gelandangan dan warga emas.

Selain Kin Wah, filem itu turut dibintangi Tony Eusoff, June Lojong, Alvin Wong dan Amirah Razak. Ia menemui penonton di pawagam bermula hari ini.

Pelakon filem My Stupid Bos itu berkata, keterbukaannya juga terserlah dalam perkembangan karier yang seterusnya, iaitu sebuah siri yang akan ditayangkan di platform Netflix.

Menurut Kin Wah, dalam siri itu dia akan melakonkan babak intim bersama pelakon Indonesia, Marissa Anita.

“Saya berciuman dengan watak isteri saya yang sedang nazak. Dia juga bersedia melakukannya. Sudah tentu kena minta izin dulu daripada dia,” katanya.

Selain itu kata Kin Wah, dia juga bakal muncul dalam satu naskah - juga ditayangkan di Netflix - yang memerlukannya menggunakan banyak perkataan kesat.

“Saya akan bercakap bahasa kasar. Naskhah arahan Timo Tjahjanto bertajuk The Shadow Strays itu akan ditayangkan pada Oktober nanti,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS