Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tamara lega pendakwa tuntut bekas kekasih dihukum mati
Diterbitkan:  Sep 26, 2024 5:18 PM
Dikemaskini: 9:18 AM

Pelakon Indonesia, Tamara Tyasmara menyambut baik tuntutan pendakwa agar bekas kekasihnya, Yudha Arfandi dihukum mati bagi pertuduhan membunuh anaknya, Dante.

Tamara meluahkan kelegaannya dan menyifatkan hukuman berkenaan setimpal dengan kesalahan Yudha.

“Hukumannya setimpal dengan perbuatannya terhadap anakku.

“Walaupun tidak dapat hadir ke mahkamah, tapi saya lega dengan perkhabaran itu.

“Semoga perbicaraan seterusnya berjalan lancar,” katanya yang dipetik detikHot.

Tamara, 29, turut berterima kasih kepada pendakwa kerana bertungkus-lumus untuk kes tersebut.

“Sekarang tinggal tunggu keputusan hakim saja, pendakwa sudah bekerja keras untuk ini semua. 

“Terima kasih, semoga hasilnya tetap sama dan sesuai dengan tuntutan,” katanya lagi.

Tuntutan hukuman itu dibacakan oleh pendakwa ketika perbicaraan di Mahkamah Negeri Jakarta Timur pada 23 September lalu.

Yudha berdepan tuntutan hukuman mati kerana melakukan kesalahan yang disifatkan kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Dante, atau nama sebenarnya Raden Andante Khalif Pramudityo, meninggal dunia 27 Januari lalu dipercayai akibat lemas.

Beberapa hari selepas insiden yang meragut nyawa anak tunggal Tamara itu, Yudha ditahan sebagai suspek kerana menjadi individu terakhir bersama kanak-kanak itu di tempat kejadian.

Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan Yudha bertindak melemaskan kepala Dante beberapa kali hingga menyebabkan kematian. 

Bagaimanapun, Yudha yang telah mengaku bersalah sebelum ini seperti tidak menyesali perbuatannya itu.

Tuntutan hukuman mati ke atas Yudha tidak dipersetujui oleh bapanya, Budi Ahmad yang menyifatkannya sebagai melampau.

Namun, Tamara berkata dia tidak kisah mengenai pendapat Budi.

“Terpulang dia mahu cakap apa, itu hak dia untuk beri pendapat.

“Tapi saya di sini bersyukur kerana usaha keras pihak pendakwaan dan tinggal keputusan hakim saja,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS