Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Ketika penyanyi baru berlumba-lumba menganjurkan konsert solo, Marsha Milan Londoh pula mengakui dia belum bersedia untuk melangkah ke fasa itu ketika ini.

Katanya, sekiranya ingin tampil dengan sebuah konsert, dia perlu memastikan impiannya itu dilaksanakan dengan teliti serta memenuhi cita rasa.

“Saya takut nak buat. Terus terang, saya belum berani untuk buat konsert solo. Saya tidak mahu buat konsert kosong.

"Kalau boleh, saya mahu konsert yang berkualiti dan berkonsep.

“Sepatutnya sudah 20 tahun dalam industri muzik melayakkan saya untuk anjur konsert solo. Kawan-kawan industri ramai yang sudah ada konsert sendiri.

“Bila agaknya giliran saya? Doakan, mana tahu, tahun depan hasrat saya itu boleh tercapai,” katanya.

Marsha, 38, berkata dia pernah didatangi beberapa penganjur yang menawarkan diri untuk bekerjasama, namun pelawaan itu terpaksa ditolak kerana berdepan kekangan jadual.

Marsha berkata demikian pada sidang media program realiti, A Million Voice (AMV) di sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mahu cari pelapis

Dalam AMV, penyanyi Bimbang itu bergandingan dengan dua nama besar dunia seni tempatan, Hattan dan Awie, selaku juri dalam program berkenaan yang menawarkan hadiah berjumlah RM1 juta.

Program itu akan dihoskan oleh Joey Daud. Hadiah bernilai RM1 juta itu pula merangkumi sebuah kereta elektrik, kontrak rakaman album dan peluang mengadakan persembahan dalam konsert selama tiga tahun.

Mengulas mengenai pemilihannya selaku juri di samping Hattan dan Awie, Marsha mengakui mungkin akan timbul persoalan berhubung kelayakannya.

“AMV akan bersiaran selama lapan episod dan rancangan itu boleh dikatakan sesuatu yang segar untuk penonton. Sebelum ini saya pernah menjadi juri Suara Viral musim kedua dan ketiga.

“Tidak dinafikan ada juga persoalan macam mana nama saya boleh terpilih. Tapi, saya yakin, penerbit sudah tentu ada alasan tersendiri. Saya pun ada pengetahuan serta belajar muzik.

“Saya rasa matlamat saya dan dua juri lain adalah sama, mencari pelapis yang boleh mewarnakan lagi industri kita,” katanya.

Ditanya soal bayaran, Marsha berkata, imbuhan yang diterimanya untuk menjayakan AMV dikira munasabah berdasarkan kredibiliti yang dimiliknya.

“Soal bayaran, ia bukanlah terlalu melampau tapi sesuai dengan nama, pengalaman dan ilmu yang saya ada.

“Tiada (bayaran lumayan). Ia biasa saja. Siapalah saya mahu kenakan kadar bayaran tinggi. Bayaran Marsha Milan masih munasabah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS