Peruntukan Belanjawan 2024 Malaysia Madani yang bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ akan menyaksikan peningkatan sebanyak 6.8 peratus berbanding 2023. Ini menggambarkan peranan penting Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memperkasa rakyat melalui bidang pendidikan tinggi.

KPT akan memanfaatkan peruntukan Belanjawan 2024 berjumlah RM16.3 bilion yang meliputi RM12.2 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM4.1 bilion bagi perbelanjaan pembangunan untuk meneruskan Agenda Ekonomi Madani KPT.

Antara inisiatif Belanjawan 2024 yang akan dilaksanakan untuk memacu kecemerlangan dalam Pendigitalan dan TVET ialah: 

1. Memperkasa TVET

Menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET dan sebagai insentif kepada industri untuk bekerjasama dengan institusi TVET awam dengan peruntukan RM100 juta. Peruntukan ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan peruntukan melibatkan pendidikan TVET berjumlah RM6.8 bilion.

2. Melaksanakan Program Tahfiz TVET

Program ini akan dilaksanakan untuk membuka peluang kepada pelajar tahfiz mempelbagaikan kemahiran di samping meneruskan pengajian hafazan dengan peruntukan RM17 juta.

3. Penubuhan Pusat Pendidikan AI Pertama Negara

Menubuhkan pusat pendidikan kecerdasan buatan (AI) pertama negara, iaitu Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan peruntukan awal RM20 juta.

POLI DIGITAL (2023-2027): Jadikan rangkaian politeknik Malaysia sebagai pusat pengajian teknikal tercanggih

Kerangka TVET Digital

Semasa Penggulungan Perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe12) di dewan rakyat, YB Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Kementerian Pendidikan Tinggi akan melaksanakan 25 inisiatif dan tujuh strategi dalam agenda transformasi politeknik melalui pendigitalan pendidikan bagi menghasilkan graduan berbakat dan berkemahiran teknologi tinggi menjelang 2027. 

Agenda pendigitalan pendidikan politeknik sudah dimulakan menerusi pembangunan POLI DIGITAL (2023-2027) yang akan melaksanakan beberapa perubahan.

Perubahan itu, katanya, merangkumi pendekatan dan teknik pembelajaran serta pengajaran program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) supaya lebih anjal, bersifat futuristik, digital dan mengguna pakai kelebihan teknologi serta inovasi.

Ini akan memastikan graduan politeknik dilengkapi dengan kemahiran teknologi terkini, sekali gus bersedia menjadi bakat terbaik dalam bidang kemahiran, teknologi dan kesenian tinggi. Selain itu, membolehkan politeknik diperkasa sebagai hab dan inkubator keusahawanan digital kepada masyarakat setempat. 

“Merancakkan penggunaan dan pemanfaatan ledakan teknologi baharu dengan menyediakan 'Student Digital Sandbox', '4IR Flagship' dan konsep E-Rakyat iaitu Latihan kepada Komuniti melalui pemindahan teknologi,” katanya di dewan rakyat.

KPT akan terus komited dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan program bagi menyokong aspirasi Belanjawan 2024: Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat.