Setiap tahun bermula bulan Mac, rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab sebagai pembayar cukai dengan mengisytiharkan pendapatan serta membuat bayaran cukai yang ditetapkan.

Namun, tidak semua menyedari bahawa setiap ringgit cukai yang dibayar sebenarnya kembali kepada rakyat dalam bentuk pelbagai kemudahan dan perkhidmatan yang digunakan hampir setiap hari.

Malah tanpa disedari manfaat daripada hasil cukai tersebut turut dinikmati secara langsung dan tidak langsung oleh diri sendiri, pasangan, anak-anak serta ibu bapa.

Hakikatnya, cukai bukan sekadar kewajipan, tetapi tunjang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat, meskipun masih ada segelintir yang melihatnya sebagai beban.

Tidak kurang juga masih wujud persoalan ke mana wang cukai yang dibayar setiap tahun sebenarnya digunakan.

Daripada kemudahan asas sehinggalah kepada perlindungan sosial semuanya dibiayai melalui hasil kutipan cukai yang kerap menjadi tanda tanya dalam kalangan masyarakat.

Perlindungan sosial turut bergantung kepada hasil kutipan cukai. Sejak melangkah keluar dari rumah menuju ke tempat kerja, kita sebenarnya menggunakan kemudahan seperti jalan raya yang diselenggara melalui dana tersebut.

Daripada lampu jalan hingga papan tanda dan lampu isyarat, termasuk jambatan, semuanya dibiayai melalui sumber yang sama.

Dalam sektor pendidikan, sumbangan cukai memainkan peranan yang amat besar. 

Anak-anak bersekolah di sekolah kerajaan dengan kemudahan yang disediakan, kadar yuran yang rendah, buku teks, bantuan pra sekolahan serta peluang melanjutkan pengajian ke institusi awam. 

Semua itu merupakan manfaat yang dinikmati hasil daripada cukai. Tanpa sumber berkenaan, peluang mendapatkan pendidikan berkualiti secara meluas mungkin tidak dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia.

Pembayar cukai menikmati rawatan di hospital kerajaan pada kos minimum hasil sumbangan cukai yang dibayar

Begitu juga dalam sektor kesihatan, manfaat cukai dirasai oleh seluruh lapisan masyarakat misalnya ibu bapa mendapatkan rawatan di hospital kerajaan pada kos yang minimum, anak-anak menerima imunisasi secara percuma manakala wanita hamil boleh melahirkan anak dengan selamat tanpa perlu menanggung kos rawatan yang tinggi. 

Semua kemudahan tersebut dibiayai melalui hasil cukai, walaupun sering kali tidak disedari. 

Selain itu, keselamatan negara juga bergantung kepada hasil cukai. Pasukan keselamatan seperti polis, tentera atau bomba memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara. 

Keamanan yang dinikmati membolehkan rakyat menjalani kehidupan harian dengan tenang bersama keluarga, satu nikmat yang jarang dikaitkan secara langsung dengan sumbangan cukai. 

Sumbangan cukai juga jelas dalam pembangunan infrastruktur negara. Projek seperti lebuh raya, jambatan, sistem pengangkutan awam serta kemudahan asas seperti bekalan air bersih serta elektrik memudahkan kehidupan rakyat.

Cukai anda kembali dalam bentuk kemudahan awam yang kita nikmati setiap hari, daripada jalan raya hingga infrastruktur asas untuk keselesaan bersama

Aktiviti harian seperti menghantar anak ke sekolah atau membawa ibu bapa mendapatkan rawatan bergantung kepada kemudahan yang dibangunkan melalui hasil cukai. 

Tidak ketinggalan, pelbagai bentuk bantuan tunai, subsidi bahan api, minyak masak, gula serta bantuan pendidikan disalurkan kerajaan membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Di samping itu, hasil kutipan cukai juga memainkan peranan penting dalam menyokong sektor kebersihan dan pengurusan sisa pepejal bagi memastikan kawasan persekitaran sentiasa terjaga dan berada dalam keadaan yang lebih bersih serta teratur.

Perkhidmatan kutipan sampah, penyelenggaraan kawasan perumahan, taman rekreasi dan fasiliti awam antara kemudahan harian yang dinikmati masyarakat setiap hari walaupun sering dianggap sebagai perkara biasa.

Sumbangan cukai turut menyokong pembangunan sosial dan komuniti, termasuk pelbagai inisiatif seperti program pembangunan belia, aktiviti sukan, seni dan budaya. 

Semua ini memberi ruang kepada masyarakat untuk menikmati kehidupan yang lebih seimbang serta berkualiti.

Kemudahan seperti taman rekreasi dan fasiliti awam yang dinikmati hampir setiap hari ini adalah hasil langsung daripada kutipan cukai yang diuruskan Lembaga Hasil Dalam Negeri demi kesejahteraan masyarakat

Anak-anak mendapat ruang untuk berkembang manakala masyarakat dapat hidup dalam suasana yang harmoni. 

Kesimpulannya, walaupun ada yang berasa terbeban apabila perlu membayar cukai, pada realitinya manfaat tersebut kembali semula kepada kita dalam pelbagai bentuk yang sering tidak disedari.

Tanpa mengira siapa - diri sendiri, pasangan, anak-anak atau ibu bapa - semuanya turut merasai manfaat daripada hasil kutipan cukai.

Oleh itu, adalah penting untuk kita melihat cukai bukan sebagai beban, tetapi sebagai satu pelaburan masa hadapan demi kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara. 

Cukai Anda, Masa Depan Negara.