Kisah Nicol David di sebalik 9 tahun menggenggam Juara Dunia
Kecintaan terhadap sukan sudah lama sebati dalam keluarga legenda sukan negara, Datuk Nicol Ann David, 43.
Bapanya, Datuk Desmond David, bukan sekadar seorang ayah yang menyokong minat anak-anaknya dalam sukan, malah beliau sendiri merupakan bekas atlet negeri dan pernah menyarung jersi skuad bola sepak kebangsaan Malaysia.
Dengan latar belakang keluarga yang begitu dekat dengan dunia sukan, anak bongsu daripada tiga beradik itu digalakkan mencuba pelbagai jenis sukan, termasuk skuasy.
Menyoroti perjalanan awal menuju kegemilangannya, Nicol Ann mula meminati skuasy pada usia lima tahun selepas melihat dua kakaknya, Lianne Marie dan Cheryl Therese, yang turut cemerlang dalam sukan berkenaan di peringkat negeri Pulau Pinang.
Pada usia lapan tahun, bakatnya mula menyerlah dan Nicol Ann mula memberikan tumpuan yang lebih serius terhadap skuasy. Minat yang bermula sejak kecil itu akhirnya membawanya ke pentas antarabangsa dan mencipta sejarah yang mengagumkan.
Adakah anda tahu Nicol Ann pernah berada di puncak dunia selama sembilan tahun?
/file/attachments/885/Banner_165077.png)
Beliau menduduki ranking No. 1 dunia selama 108 bulan berturut-turut, menjadikannya pemegang rekod penguasaan paling lama tanpa putus di ranking teratas dalam sejarah skuasy wanita.
Pencapaian itu bukan sekadar angka atau rekod, sebaliknya mencerminkan sembilan tahun disiplin, ketahanan mental dan kesungguhan untuk terus memberikan yang terbaik buat Malaysia.
Pada usia 15 tahun, Nicol Ann mencuri perhatian dunia apabila memenangi Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 1999 di Antwerp, Belgium, sekali gus menjadi pemain termuda yang memenangi gelaran tersebut pada ketika itu.
Enam tahun kemudian, Nicol Ann sekali lagi mencipta sejarah apabila muncul sebagai pemain Asia pertama memenangi Kejohanan Skuasy Terbuka Dunia Wanita 2005.
Kejayaan itu mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pemain skuasy terbaik dunia.
Untuk rekod, sepanjang kariernya, Nicol Ann mengumpul lapan gelaran Kejohanan Dunia dan lima kali juara Kejohanan Skuasy Terbuka British serta 10 kali juara Kejohanan Terbuka Hong Kong, mengukuhkan legasinya sebagai antara atlet paling berjaya dalam sejarah sukan Malaysia.
Di sebalik setiap rekod dan kejayaan, tersimpan perjalanan panjang yang dipenuhi latihan, pengorbanan dan semangat untuk tidak pernah berhenti mengejar kecemerlangan.
Hayati semangat Nicol Ann dan atlet-atlet hebat Malaysia lain seperti Farah Ann Abdul Hadi, Datuk Abdul Latif Romly, Pearly Tan, Thinaah Muralitharan dan Mohd Khafiz Bachok menerusi pameran instalasi seni Semangat Membara, Untukmu Malaysia oleh U Mobile di Bangunan Sultan Abdul Samad hingga 16 September 2026.
Menerusi instalasi awam khas ini, rakyat Malaysia berpeluang menyelami kisah, pengorbanan dan detik-detik gemilang wira sukan negara yang telah mengangkat nama Malaysia di pentas dunia bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.
/file/attachments/885/UMO488089MerdekaTerbangActivation_Digital_Hori_4_603112.jpg)
