Bagi kebanyakan orang, berdiri di atas platform setinggi 10 meter di tepi kolam renang sudah cukup membuatkan lutut terasa menggeletar.

Cuba bayangkan berada di situ dengan ribuan mata memandang sambil membawa harapan dan nama Malaysia di pentas sukan terbesar dunia.

Bagi Pandelela Rinong, melangkah ke platform setinggi itu bukan lagi sesuatu yang asing kerana ia menjadi sebahagian perjalanan hidupnya yang luar biasa.

Bertahun-tahun lamanya, kita menyaksikan beliau melompat, berpusing di udara sebelum terjun tepat ke dalam air. 

Namun, di sebalik setiap terjunan yang kelihatan mudah dan anggun, terselit satu perjalanan mencabar yang dibina atas disiplin, pengorbanan dan semangat tidak pernah putus asa untuk seorang atlet terus maju ke hadapan.

Perjalanan inilah yang akhirnya membawa Pandelela ke pentas Olimpik sekali gus mengukir namanya dalam sejarah. 

Detik mengubah sejarah sukan terjun Malaysia 

Ketika Pandelela melangkah ke platform Olimpik London 2012, beliau bukan sekadar bersaing dengan penerjun terbaik dunia.

Beliau sebenarnya bakal mengubah lembaran sukan terjun Malaysia.

Tahukah anda Pandelela baru mencecah usia 19 tahun ketika beliau mencipta sejarah di Olimpik London 2012?

Pingat gangsa yang dimenangi dalam acara 10 meter (10m) platform wanita menjadikan beliau wanita Malaysia pertama yang meraih pingat Olimpik dalam sukan itu. Ini juga merupakan kali pertama seorang atlet Malaysia memenangi pingat Olimpik dalam sukan selain badminton.

Bagi sebuah negara yang sekian lama menjulang kecemerlangan sukan, detik itu menjadi amat bermakna.

Pencapaian Pandelela bukan sekadar menambah satu pingat dalam senarai pingat Olimpik Malaysia. Ia menunjukkan sejarah boleh tercipta dari tempat yang tidak disangka-sangka seperti platform terjun.

Pada ketika itu, ramai rakyat Malaysia berjaga hingga lewat malam, berkumpul depan skrin televisyen dan menahan nafas setiap kali beliau membuat terjunan.

Kerjaya penuh dengan detik bersejarah

Ratu terjun itu kembali ke pentas Olimpik di Rio 2016 empat tahun kemudian,

Kali ini, beliau meraih pingat perak dalam acara 10 meter platform wanita, sekali gus menjadi atlet Malaysia pertama memenangi pingat dalam dua edisi Olimpik berturut-turut. 

Sepanjang empat kali penyertaan Olimpik dan lebih sedekad bertanding di peringkat tertinggi, Pandelela telah membantu meletakkan sukan terjun Malaysia kukuh di peta dunia.

Kejayaan itu tidak terhenti di pentas Olimpik. 

Beliau menjadi penerjun Malaysia pertama yang memenangi emas Sukan Komanwel apabila menjuarai acara di New Delhi pada tahun 2010. Beliau turut mencipta sejarah pada Kejohanan Akuatik Dunia 2015 apabila meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter platform wanita. 

Perjalanannya turut merangkumi kemenangan emas di Sukan SEA dan satu lagi kemenangan besar di Piala Dunia 2021.

Di sebalik setiap pingat itu pula ada cerita yang jarang dilihat misalnya latihan berjam-jam, rutin yang diulang berkali-kali dan keberanian untuk kembali ke platform selepas melalui detik-detik yang sukar.

Perjalanan untuk mendaki lebih tinggi tidak terhenti


Pada usia 33 tahun, Pandelela kekal sebagai penerjun paling berpengalaman dalam skuad kebangsaan dan dijadual beraksi dalam acara 10 meter platform wanita di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 yang akan berlangsung dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

Lebih sedekad berada di pentas tertinggi dunia, komitmen Pandelela untuk terus bersaing membuktikan bahawa perjalanan seorang atlet tidak berakhir selepas satu kemenangan atau satu pingat. 

Temui kisah di sebalik pingat

Perjalanan Pandelela antara kisah yang diraikan dalam kempen U Mobile Semangat Membara, Untukmu Malaysia yang diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia di Bangunan Sultan Abdul Samad hingga 16 September ini.

Kempen itu menyoroti kisah wira sukan Malaysia yang membanggakan negara, bukan sekadar melalui pingat yang dimenangi tetapi juga dari segi pengorbanan, semangat, dan detik-detik penentu yang membentuk kejayaan mereka. 

Terletak di salah satu mercu tanda ikonik Kuala Lumpur, instalasi ini mengajak rakyat Malaysia mengenali dengan lebih dekat kisah para wira sukan negara bermula daripada detik-detik penentu dan rekod luar biasa hinggalah kepada ketekunan bertahun-tahun yang membawa mereka ke pentas dunia.

Kadangkala, sejarah bermula dengan keberanian untuk mengambil terjunan pertama.