Jauh sebelum sukan permotoran Malaysia mula mendapat pengiktirafan lebih besar di persada antarabangsa, pemandu rali ikonik negara, Karamjit Singh sudah pun terlebih dulu mencipta nama.

Lebih dua dekad selepas menjadi pemandu Asia pertama memenangi gelaran Kejohanan Rali Dunia Produksi FIA (PWRC), beliau masih lagi melakukan apa yang paling digemarinya iaitu berlumba.

Pada usia 64 tahun, legenda sukan permotoran Malaysia itu terus bersaing, malah baru-baru ini menambah satu lagi rekod kecemerlangan dalam kerjayanya yang panjang apabila memenangi Rali Melaka 2026. 

Meskipun memandu Proton Gen2 4WD Turbo miliknya yang sudah berusia 19 tahun, Karamjit yang ditemani pemandu pembantu berjaya menakluki litar berbatu kerikir di sekitar ladang kelapa sawit Felda Tun Ghafar untuk meraih kemenangan tersebut. 

Bagi kebanyakan atlet, kerjaya yang merentasi lebih empat dekad cukup menjadi alasan untuk mereka mengurangkan pembabitan dari dunia sukan perlahan-lahan.

Tetapi tidak bagi Karamjit yang mendapat julukan Flying Sikh itu. Baginya, selagi ada perlumbaan dan selekoh untuk dilalui, selagi itulah ada garisan penamat baharu yang menanti. 

Didorong oleh kecintaan terhadap kelajuan, Karamjit bangkit dari kancah perlumbaan kereta tempatan ke pentas dunia, sekaligus membantu mengukir nama Malaysia di peta sukan permotoran. 

Dari rali tempatan ke pentas antarabangsa

Beliau memulakan debut relinya pada 1985 di Castrol Daylight Rally, kemudian menghabiskan dua tahun pertama kerjayanya bertanding dan memenangi rali tempatan sebagai pelumba persendirian sebelum menyertai Pasukan Petronas EON Racing (PERT).

Dan di situlah segala-galanya bermula.

Kerjasama itu mendorongnya ke arah beberapa pencapaian terbesar dalam sejarah sukan permotoran Malaysia.

Bertahun-tahun, Karamjit membina rekod yang mengagumkan merentasi pertandingan serantau dan antarabangsa, memenangi gelaran termasuk Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC) pada 2001, Kejohanan Dunia Kereta Produksi FIA 2002 dan beberapa lagi gelaran Kejohanan Reli Asia-Pasifik FIA.

Ketika sukan rali masih agak asing bagi kebanyakan rakyat Malaysia, Karamjit hadir sebagai wira sukan baharu yang dibanggakan rakyat. 

Dan beliau bukan sekadar bertanding di gelanggang sukan permotoran global. Beliau membuktikan dirinya seorang pemandu Malaysia yang mampu menjadi juara.

Kehidupan di sebalik pentas rali

Inilah sesuatu yang mungkin tidak diketahui ramai rakyat Malaysia.

Karamjit diberi kepercayaan untuk membawa kemahiran memandunya hingga ke layar lebar.

Sejak 1993, beliau yang berkecimpung dalam aksi lagak ngeri turut membawa kemahiran memandunya dalam iklan. Kerjayanya dalam bidang ini merangkumi pelbagai adegan kejar-mengejar berkelajuan tinggi hingga adegan kemalangan kereta yang dramatik. 

Selain itu, beliau juga berkhidmat sebagai pemandu lagak ngeri dalam beberapa produksi Bollywood yang dirakam di Malaysia dan luar negara.

Antara filem yang pernah beliau pernah lakonkan ialah Mission Istanbul, dibintangi Vivek Oberoi dan Don: The Chase Begins yang dibintangi pelakon terkenal Bollywood, Shah Rukh Khan.


Membawa kisah Flying Sikh ke layar lebar 

Rakyat Malaysia bakal berpeluang mengetahui lebih lanjut perjalanan Karamjit melalui Terbang, sebuah filem terbaharu terbitan Astro Shaw dan Woohoo Pictures.

Selain meraikan seorang ikon sukan permotoran negara, filem ini turut mengimbau kembali era apabila sukan rali meningkatkan keterujaan peminat rali di Malaysia.

Persada rali tempatan yang berkembang pesat pada tahun 1980-an dan 1990-an melahirkan pemandu yang bertanding di beberapa pentas terbesar sukan ini. Walaupun senario tersebut kini semakin pudar, Karamjit berharap Terbang dapat mengembalikan sukan ini ke tumpuan umum.

Lebih penting lagi, beliau berharap penonton akan melihat kisah ini sebagai satu kisah tentang ketabahan.

"Saya akan katakan ia adalah filem tentang keyakinan diri dan patriotisme. Ia menunjukkan bagaimana kita rakyat Malaysia keluar ke sana, menakluki dunia, dan pulang kembali," kata Karamjit.

Semangat Membara, Untukmu Malaysia

Mungkin itulah yang menjadikan kisah Karamjit begitu unik bagi Malaysia. 

Semangat ketabahan dan keazaman yang sama itulah yang menjadi teras kepada Semangat Membara, Untukmu Malaysia, kempen U Mobile yang menyanjung pengorbanan, ketahanan dan pencapaian wira-wira sukan Malaysia. 

Ia bukan sekadar meraikan detik-detik yang membawa kegemilangan kepada negara, tetapi juga semangat dan ketekunan yang membawa mereka melalui setiap cabaran sepanjang perjalanan tersebut.

Orang ramai dijemput hadir ke pameran Semangat Membara, Untukmu Malaysia anjuran U Mobile yang berlangsung hingga 16 September 2026 di Bangunan Sultan Abdul Samad. Temui detik-detik penentu, pencapaian dan perjalanan penuh inspirasi di sebalik perjuangan wira-wira sukan Malaysia yang tidak lelah mengorbankan keringat demi menjulang nama negara.