Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Di bandar Herat, Afghanistan, saya menaiki teksi yang dipandu seorang lelaki yang degil dan tidak mendengar kata. Namun ada hikmahnya juga, saya dapat mengenal jalan-jalan utama di bandar ini.

Saya berjalan kaki ke Masjid Jamak yang merupakan salah satu ikon terpenting di bandar Herat. Saya lebih suka berjalan kaki kerana boleh melihat-lihat dengan lebih dekat aktiviti penduduk tempatan di sana.

Sesekali saya, saya mengesan bahaya, lalu saya praktikkan amalan sama ketika saya menjelajah bandar Kabul. Pandangan mata penduduk tempatan di sini begitu tajam, seolah-olah menembusi badan saya.

Sebaik tiba di Masjid Jamak, saya tidak dapat mencari pintu masuknya. Kawasan masjid berpagar ini sangat luas. Akhirnya, saya masuk melalui celah-celah pagar yang boleh memuatkan badan saya.

Entah apa pandangan orang tempatan jika mereka melihat kelakuan saya pada waktu itu.

Sebaik tiba di perkarangan masjid, saya dapati kebanyakan jemaahnya terdiri daripada golongan lelaki yang berjubah dan berserban besar. Saya tidak mengendahkan pandangan aneh mereka terhadap saya dan terus sahaja berjalan masuk ke dalam kawasan masjid.

Masjid Jamak ini juga dikenali dengan nama lain seperti Masjid-I Jami, Blue Mosque, Friday Mosque dan juga Great Mosque.

Struktur ini mula dibina pada tahun 1404 dan siap pada tahun 1446. Namun, masjid ini telah melalui banyak kali fasa pemulihan sehingga kini.

Rekabentuk dan hiasan luar serta dalamannya banyak dipengaruhi oleh kuasa-kuasa besar yang pernah memerintah Herat. Ini termasuklah era Mugal semasa pemerintahan Shah Jahan yang sedang menentang kuasa Uzbekistan pada waktu itu.

Saya tergamam buat seketika. Saya mendongak melihat setiap kepingan jubin biru seni yang tersusun indah. Saya bagaikan dipukau oleh kecantikan dan keunikan masjid bersejarah ini.

Sedang saya berlegar-legar sendirian di dalam kawasan masjid, seorang lelaki yang mungkin berusia lewat 20-an memberi isyarat kepada saya untuk mengikutnya.

Dia kelihatan bersungguh-sungguh untuk menunjukkan kawasan masjid itu kepada saya.

Saya mengikut beliau ke satu kawasan agak terpencil di belah kanan masjid. Kawasan masjid di situ agak tua, tetapi tetap indah dan memukau. Lelaki tersebut masuk ke dalam salah satu bilik kecil dan membiarkan saya menunggu di luar.

Beliau muncul semula dengan membawa sebatang kunci dan terus menujuk ke satu lagi bilik di sebelahnya. Pintu dibuka dan beliau memberi isyarat supaya mengikutinya.

Bilik gelap dan agak berdebu, saya agak sukar bernafas. Apa yang terkandung dalam bilik misteri itu membuat saya terkejut. Rupa-rupanya bilik itu dijadikan tempat untuk membuat dan memproses jubin berwarna yang menghiasi setiap sudut masjid.

Saya membelek-belek beberapa hasil kerja tangan di situ, memang halus dan berseni. Di situ juga terdapat dapur yang memproses jubin. Jika dilihat daripada bentuk dapur yang diperbuat daripada tanah liat dan batu-bata itu, mungkin sahaja usianya sudah mencecah ratusan tahun.

Di tengah-tengahnya terletak serombong asap yang dihalakan ke atas bumbung.

Setelah menunjukkan kawasan itu, lelaki tadi meminta diri. Dengan sepantas kilat, dia berjalan keluar meninggalkan kawasan itu seolah-olah sedang mengejar sesuatu.

Sebenarnya saya kurang faham, adakah tugas dia memang membawa pelawat melihat-lihat kawasan di situ atau pun dia secara sukarela membawa saya melihat kawasan tersebut? Wallahua'lam.

Saya masih berlegar-legar lagi di kawasan masjid sehingga menemui satu lorong yang agak gelap. Saya melihat seorang wanita memakai burqa di hujungnya, mungkin sedang meminta sedekah.

Mujur sewaktu saya berjalan di depannya, dia tidak mengejar dan menarik-narik baju saya seperti kejadian di Kabul. Wanita peminta sedekah di Kabul kebanyakannya lebih agresif.

Wanita di lorong tersebut hanya duduk diam di satu sudut. Kaku seperti patung. Banyak soalan yang bermain dalam kepala saya bila melihat beliau. Mahu rasanya saya duduk dekat dan bertanya kisah hidupnya.

[Bersambung dalam bahagian seterusnya]


Siri tulisan Siti Noridah Abd Rahaman ini merupakan sedutan daripada buku ‘Travelog ET - Kembara Afghanistan’ yang dikarang dan diterbitkannya sendiri.

Ia merakam pengalamannya menelusuri pedalaman India, Pakistan, Afghanistan, Emiriah Arab, Iran dan Turki selama enam bulan.

Anak kelahiran Johor berusia 32 tahun ini berharap pengembaraannya dapat memberi inspirasi kepada anak muda lain untuk berkelana dan menimba pengalaman di luar negara.

Pesanan melalui l aman Facebook: ‘Travelog ET’

Lihat Komen
ADS