Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

TRAVELOG Pagi itu saya keluar awal ke bandar. Bertemankan rakan sepengajian di Universiti Malaya dahulu Faizol Hardi, kami menuju ke Ain Fijih. Ain Fijih ini sebuah perkampungan di luar kota Damsyik.

Perjalanan ke sana memakan masa sekitar lebih satu jam. Ain Fijih ini terkenal dengan sumber mata air dari kawasan pergunungan.

Di Syria, kita tidak perlu memasak atau menapis air untuk diminum. Setiap rumah akan ada dua paip. Satu paip air biasa untuk kegunaan harian. Manakala satu paip lagi untuk air minuman. Dikenali sebagai air Fijih.

Yemen Landscape

Ia disalurkan dari kawasan bukit. Bukit-bukit mereka mengeluarkan mata air dan kandungan mineralnya sangat tinggi.

Sama seperti di Australia, air-airnya bersih dan boleh diminum terus. Perjalanan ke Ain Fijih memerlukan kami menaiki dua kali “servis” atau van. Ketika itu musim sejuk sangat mencengkam.

Bangun daripada tidur, kita akan melihat salji nipis di luar rumah. Cukup sejuk. Jika tidak ada sebarang urusan, jarang sekali keluar dari rumah sebelum pukul 11 pagi. Kemudian selepas Asar sudah balik ke rumah. Amat singkat waktu siang di musim sejuk.

Keluar dari rumah, kami akan ke kedai roti di hadapan Maahad Abu Nur. Dua potong roti dan sebotol minuman akan dibawa bekal sepanjang perjalanan.

Keluar dari Kota Damsyik, kami melalui kawasan berhampiran Istana Presiden. Istana yang berlapis-lapis temboknya itu boleh dilihat dengan dekat di pertengahan perjalanan.

Kemudian “servis” akan melalui kawasan kampung. Tujuan kami ke Ain Fijih adalah untuk mempelajari ilmu nahu (tatabahasa Arab) daripada guru kami di Maahad Abu Nur iaitu Ustaz Kamal. Ustaz Kamal mempunyai seorang lagi adik bernama Jamal dan keduanya mengajar bahasa Arab di Ma’ahad Abu Nur.

Ketika itu Maahad Abu Nur bercuti, maka kedua beradik ini mengajak kami belajar di rumah mereka.

Road in Yemen

Arab Syria ini sangat mementingkan keilmuan. Mengajar bukanlah sumber pendapatan yang baik bagi mereka. Ini kerana setiap orang guru biasanya membuat dua atau tiga pekerjaan setiap masa.

Boleh jadi pagi mengajar dan sebelah petang memandu teksi dan malam menjual minuman. Ini kerana keadaan ekonomi negara mereka yang teruk, menyebabkan mereka terpaksa bekerja sedemikian rupa.

Cerita bab pentingkan ilmu ini, teringat kisah isteri saya dengan wanita Arab Syria ini. Setiap minggu akan diadakan kuliah Asar oleh Sheikh Rejab Deeb di Masjid Abu Nur. Kebiasaannya masjid yang bersaiz besar boleh memuatkan dua tiga ribu orang ini akan penuh.

Para jemaah akan duduk berhimpit-himpit khususnya di bahagian wanita. Isteri saya hadir mendengar kuliah tersebut. Seorang ibu tua menegur beliau. Mana pen? Mana buku?

Dia cukup marah jika kita hanya menadah telinga sahaja. Terus dikoyakkan sekeping kertas daripada bukunya dan diberikan kepada isteri saya.

Tradisi keilmuan ini juga boleh dilihat di Yaman. Ketika kami singgah di Yaman selama empat hari pada bulan Julai tahun 2008. Berlaku satu peristiwa yang menggemparkan umat Islam Yaman. Sebuah kedai milik warga asing di Sana’a telah menjual minuman keras.

Ia cukup asing di negara tersebut. Ulama Yaman mengadakan persidangan membincangkan hal tersebut. Kami bertuah kerana sampai di Yaman pada hari persidangan tersebut.

Yemen

Ditemani dua orang pelajar Malaysia di Yaman seingat saya Azamudin dari Kedah, kami dibawa ke dewan persidangan. Persidangan ini akan dirasmikan oleh tokoh ulama Yaman yang juga Rektor Universiti Iman, Sheikh Dr Majid Zendani. Kami menaiki servis ke lokasi tersebut.

Sesuatu yang ganjil ialah, ketika kami menahan servis tersebut, ada dua tiga orang penumpang. Setelah mendapati kumpulan kami seramai 10 orang, tiga penumpang tadi diminta turun dan wang mereka dikembalikan.

Kami dipersilakan naik. Pelik, seperti tidak ada laluan khas setiap servis dan boleh bertukar-tukar penumpang di tengah jalan. Jika di Syria, servis mempunyai laluan tersendiri. Tidak pasti di Yaman bagaimana.

Boleh jadi itulah satu-satunya servis sebegitu di Yaman. Yang lain semuanya bagus barangkali. Sampai ke lokasi persidangan kami berhenti tidak jauh dari pintu masuk utama.

Suatu yang mengejutkan, di setiap bangunan yang ada disekeliling dewan persidangan itu adanya anggota tentera yang siap dengan sniper yang boleh membunuh dengan tepat.

[Baca selanjutnya dalam buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria']


MOHD NASAIE ISMAIL berkongsi pengalamannya di bumi Rasulullah ini melalui buku 'Travelog Kembara Cinta di Syria'.

Beliau antara lainnya merakam cara hidup masyarakat di sana yang sentiasa hidup dalam ketakutan akibat kegiatan pengintip kerajaan dan juga bencana rasuah.

Di sebalik latar itu, warga Syria tetap suka membantu, bersedekah, mesra tetamu dan bersikap sopan santun.

Penulis turut mencatat pengalamannya mengembara di Mesir, Yaman, Turki dan Kazakhstan.

Pesanan buku melalui laman Facebook: Kembara Cinta di Syria

Sedutan bahagian terdahulu:

Syeikh Butti yang tepat saat

Syeikh Butti bukan pengampu Bashar

Bashar kejam? Bapa Bashar lebih zalim

Gugurnya Asma' di Dataran Rubu'ah

Ketakutan, waspada pemerintah Syria

Mengapa anak muda Syria berlumba ke masjid

Masjid atau gereja? Bezanya pada menara

Runtuhan di Syria saksi keagungan Islam

Lihat Komen
ADS