Festival fotografi kembara berprestij, Travel Photographer Asia menawarkan lima tema utama untuk diteroka oleh para peserta dalam edisi pertandingannya tahun depan.

Pertandingan tersebut terbuka untuk peserta profesional dan amatur dari serata dunia yang pernah mengembara di rantau Asia dan Australia, kata pengasasnya, Ahsan Qureshi.

“Melalui gambar yang dihantar oleh para peserta, kami ingin menonjolkan kekayaan budaya, latar tempat, makanan dan orang-orang Asia,” katanya.

Katanya, Australia merupakan ruang yang baru diperkenal untuk edisi 2016 dalam festival yang bertujuan merai romantisme kembara dan fotografi.

“Dua orang pemenang akan memenangi hadiah perjalanan ke Afrika Selatan untuk menyertai kursus fotografi pakar.

"Senarai hadiah akan diumumkan di laman web kami menjelang 15 Disember," katanya.

Pemenang untuk 50 penyertaan terbaik akan diumum pada 25 April dan lima penyertaan terbaik akan diumum pada 27 April.

Gambar dari para pemenang pula akan dipamerkan di MapKL di Publika bermula 26 Mei dalam satu upacara penyerahan hadiah.

Peserta dialu-alukan untuk menghantar rakaman gambar terbaik mereka bermula 6 Jan sehingga 30 Mac.

Tema untuk pertandingan kali ini adalah Masyarakat, Kehidupan Seharian, Rangsangan Tempat, Alam, Keindahan Rumah.

Antara pakar yang kembali berkhidmat sebagai juri kali ini ialah anggota lembaga National Geographic Society, Shahidul Alam, salah seorang pengarah Xinhua News Agency, Huang Wen dan pengarah festival fotografi Obscura, Vignes Balasingam.

Empat lagi anggota panel juri adalah pengasas program residensi DECK di Singapura Gwen Lee, pensyarah Universiti Multimedia Che Ahmad Azhar, jurugambar kembara tersohor, Drew Hopper (Australia) dan Tewfic El-Sawy (New York).

Maklumat lanjut di laman web Travel Photographer Asia dan media sosial: Facebook , Instagram , Twitter .

Malaysiakini juga akan menyiarkan gambar-gambar terbaik dari pertandingan edisi 2015 bemula hari ini di Instagram dan Facebook .