Amat kagum sekali apabila saya membaca surat yang bertajuk Surat terbuka untuk Timbalan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia pada Jan 14 di malaysiakini .

Kata-kata TNC itu menyedarkan minda saya. Masih segar dalam ingatan saya kata-katanya yang berbunyi: "You don't have the constitutional right and human right as long as you are registered as a university student. You only have the Ata Universiti dan Kolej Universiti dan Kaedah-kaedah Universiti".

Ketika itu saya berasa tertipu oleh apa yang saya pelajari dalam pengajian am. Saya amat kecewa terhadap sistem pendidikan di negara ini. Bukankah perlembagaan merupakan undang-undang bertulis tertinggi di negara ini yang kononnya mengamalkan dasar demokrasi? Jika hakikat memang sebegini, bukankah TNC itu telah bercanggah dengan perlembagaan?

Persoalan kedua, Persatuan Mahasiswa Islam USM kini telah dibubarkan disebabkan salah seorang pembantu exconya teleh melibatkan diri dalam kes pencerobohan bilik gerakan BN di Indera Kayangan pada Jan 10. Wajarkan membubarkan sesuatu persatuan jika salah seorang ahlinya disyaki melanggari tatatertib universiti.

Perlukah pihak pentadbir, khususnya TNC yang kononnya dikatakan memiliki kuasa autoriti itu bertanggungjawab ke atas kes yang menyatakan bahawa lebih kurang 40 pensyarah USM di bawah siasatan atas tuduhan menghasut pelajar untuk menentang kerajaan pada Oktober.

Sejak beberapa tahun yang lalu, Kementerian Pendidikan menggalakkan pelajar terlibat dalam aktiviti kokurikulum dan pelajar yang aktif diberi keutamaan untuk memasuki universiti. Soalan ketiga yang merunsing diri saya ialah perlukah mahasiswa masih aktif dalam aktiviti kokurikulum?

Ahli Persatuan Bahasa Tiong Hua USM yang mengambil bahagian dalam pertandingan perbahasan bahasa Cina Inter-varsiti Malaysia-Singapura dilarang sekaligus. Setiap peserta dikenakan denda RM200 sebagai hukuman kesalahan tataterti.

Ketika di sekolah menengah, mata pelajaran pendidikan moral menumpukan penyemaian nilai peka terhadap isu-isu semasa. Namun sebagai seorang mahasiswa yang bakal memimpin negara, mereka disekat untuk mengutarakan idea dan pandangan yang bernas terhadap sesetengah isu kerana dianggap anti kerajaan.

Apa yang menyedihkan adalah mahasiswa yang berani mengingkari Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilabel anti-kerajaan atau lebih teruk lagi ialah golongan terroris yang kini amat popular dieksploitasikan oleh pihak pentadbir negara.

Persoalan keempat saya ialah setakat manakah tingkah-laku mahasiswa yang dianggap anti-kerajaan? Adakah sistem pendidikan negara berwawasan melahirkan mahasiswa yang hanya mampu menunjukkan pretasi yang gemilang dalam bidang akademik tetapi bisu dan lesu dalam perkembangan negara?

Surat dari seorang mahasiswa yang dipaksa membuang undi pada sidang pilihanraya 2001.