Surat ini merujuk kepada pandangan dan ulasan yang dikemukakan dalam surat bertajuk Jangan percaya DAP

(Jan 24) oleh Lunasian Tulin.

Memanglah tidak dapat diterima akal apabila tuduhan liar yang melampau dilemparkan kepada DAP, gara-gara marahkan pendiriannya untuk tidak mahu turut serta dalam kempen di Indera Kayangan.

Surat Lunasian Tulin jelas menggambarkan sikap berat sebelah penulis yang tidak berhujah berdasarkan fakta dan sejarah.

Jangan lepaskan geram kekalahan BA di Indera Kayangan ke atas DAP sahaja, cermin-cerminlah diri. Hitungkanlah semula setakat mana kekuatan BA di Indera Kayangan.

Alasan yang dikemukakan dalam surat tersebut patut ditolak sama sekali berdasarkan hujah-hujah berikut:

Pertama, kehadiran DAP ketika kempen pilihanraya kecil Lunas adalah suatu sumbangan yang ikhlas lagi jujur. Sebagai rakan dalam BA, kehadiran DAP hanya dengan satu tujuan, iaitu memenangkan calon Keadilan.

Janganlah kita lupa, Lim Kit Siang sendiri 'turun padang' untuk berkempen dan memberikan ceramah menjelang pilihanraya kecil tersebut. Apakah ini masih dianggap tidak jujur?

Kedua, janganlah ditimbulkan bahawa DAP hanya berkempen pada saat-saat terakhir. Ini bukan perkara pokok; yang patut dititikberatkan adalah kehadiran DAP dan kesannya ke atas keputusan pilihanraya tersebut.

Apakah kita sudah lupa, kehadiran DAP telah membolehkan Keadilan menang di semua peti undi yang majoritinya adalah pengundi Cina? Ini jelas memperlihatkan kesan kehadiran DAP yang amat mendalam sekali.

Ketiga, soal DAP tidak mahu tolong dan tidak mengambil kira situasi semasa di Lunas adalah tidak benar sama sekali. Kehadiran pemimpin tertinggi DAP jelas membuktikan kejujuran dan keterlibatan DAP dalam kempen tersebut.

Keempat, soal DAP tidak mahu membantu dalam kempen di Indera Kayangan tidak seharusnya ditimbulkan. DAP sudah keluar daripada BA, DAP mempunyai prinsip dan pendirian yang wajar dihormati oleh semua pihak.

Kelima, keengganan DAP untuk turut berkempen di Indera Kayangan perlulah juga dilihat pada sejarah dan situasi setempat. DAP tidak mempunyai kekuatan sepertimana kekuatan dan pengaruhnya di Lunas atau Teluk Kemang. DAP sudah berakar umbi di Lunas dan Teluk Kemang sejak sekian lama, tetapi keadaannya berbeza di Indera Kayangan.

Keenam, tuduhan bahawa Lim menyerang Keadilan lebih hebat daripada MCA atau Umno juga tidak benar. Apakah hujah untuk menyokong dakwaan ini?

Lim adalah seorang pejuang demokrasi dan anti-penindasan sepanjang zaman, beliau berhujah dan berjuang sejak sekian lama, bukannya hanya setakat dua tiga tahun ini. Apakah yang dihujahkannya adalah berdasarkan fakta dan hakikat sebenar, bukannya tuduhan liar yang tidak berasas.

Ketujuh, tuduhan bahawa DAP adalah agen Umno dan MCA terjumlah kepada fitnah yang sangat serius. DAP dan barisan kepimpinannya tidak pernah bersekongkol atau 'tidur sebantal' dengan BN.

Jangan mudah melupakan sejarah siapakah yang bersekongkol dengan BN selama ini. Siapakah pejuang bermusim yang hanya bersuara apabila dirinya tersentak? Jangan lupakan sejarah.

'Lawan tetap lawan', janganlah DAP turut dijadikan lawan. Bila sudah dibelasah di Indera Kayangan, janganlah DAP dijadikan belasahan! Renungkanlah bersama.