Kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai kemungkinan mengenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) terhadap penjenayah penyeludup beras sekali lagi menggambarkan bahawa pemerintah tidak telus dalam menegakkan keadilan di negara ini.

Ini adalah ekoran pendedahan Menteri Pertanian Datuk Effendi Norwawi bahawa kira-kira 200,000 ton beras diseludup masuk setahun ke negara ini serta mengaitkannya dengan kerugian perniagaan Bernas. Manakala akhbar Utusan Malaysia Sabtu lalu mendakwa jumlahnya 350,000 ton!

Memang susah hendak diterima akal beras sebanyak itu boleh dibawa masuk secara sulit melainkan ianya melibatkan jenayah yang terancang pada peringkat tertinggi. Mustahil penduduk sekitar sempadan Malaysia-Thai yang juga dikenali sebagai 'tentera semut' itu mampu membawa masuk sebanyak itu kerana pasukan tentera ada mengawal sempadan.

Sekiranya dihitung, penyeludup memerlukan 183 buah lori tiga ton untuk membawa masuk beras sebanyak itu setiap hari melalui sempadan. Mustahil pegawai-pegawai Imigresen atau polis yang ditempatkan di sempadan tediri dari mereka yang cacat penglihatan.

Atau pun, sekiranya dibawa masuk melalui bot nelayan, agaknya pasti banyak bot-bot yang karam kerana terlebih muatan. Mungkin juga ramai nelayan tiada masa lagi untuk menangkap ikan kerana terlalu sibuk menjalankan kerja penyeludupan ini.

Pak Lah, yang juga Menteri Dalam Negeri, mengakui kerajaan bingung dengan perkara ini.

Sebenarnya Pak Lah tak perlu bingung sama sekali kerana ini cuma mendedahkan kelemahan beliau. Bakal Perdana Menteri ini sepatutnya bertanya apakah yang dilakukan oleh anggota ' special branch ' (SB) beliau selama ini? Bukankah SB sendiri pernah mendakwa mereka adalah yang terbaik di dunia, malahan boleh mencaturkan siapakah yang boleh menjadi pemimpin negara ini?

Bukankah SB boleh?

Buntu dengan kelicikan penyeludup, Pak Lah mengugut mahu menggunakan ISA kepada mereka yang dianggap pemusnah ekonomi negara ini. Kenapa cepat melatah?

Penggunaan undang-undang tidak telus ini, sekiranya menjadi kenyataan, sebenarnya menggambarkan kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu dari rakyat. Sebenarnya rakyat mahu pesalah dihadapkan ke mahkamah terbuka.

Mungkinkah penyeludupan beras ini sebenarnya melibatkan ahli-ahli politik, pegawai-pegawai tinggi kerajaan atau mereka yang bergelar VIP? Sekali lagi, kita terbayangkan akan betapa membarahnya rasuah di negara kita ini.

Sekiranya ISA digunakan, tiada siapa yang tahu bagaimanakah rupa petualang negara itu. Orang PAS kah dia? Orang Keadilan kah? Atau orang Umno?

Mustahil SB yang paling cekap di dunia pun tak boleh mencari bukti. Bukankah dulu pelbagai bukti boleh ditampilkan dalam menyeret mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke mahkamah.

Rakyat ingin tahu, siapakah sebenarnya dalang di sebalik penyeludupan beras ini dan tiada simpati yang patut diberi.