Hentikan perbalahan MCA
Saya amat kagum dengan pendirian Liow Tiong Lai yang berputar-putar mengenai krisis kepimpinan MCA.
Sebagai seorang menteri kesihatan saya terpegun dengan kesihatan mental beliau. Apa yang menarik perhatian saya ialah MCA kini semakin mirip drama bersiri Hokkien yang menular sehingga beratus ratus babak.
Daripada " President in Waiting " beliau dilihat sebagai pembelot kepada kepimpinan MCA.
Mesyuarat Agung Luarbiasa (EGM) pada 10 Okt lalu nampaknya satu perangkap dan dakyah kumpulan 13 yang memesong haluan undian minoriti untuk memenuhi hasrat mereka untuk menumbangkan pemimpin tertentu.
Haikatnya, di antara kumpulan itu, ada di kalangan mereka yang kecundang pada pilihanraya tetapi masih diberi mandat dengan jawatan timbalan menteri dan sebagainya.
Berbanding dengan kami yang tidak berilmu & terpinggir, kami tidak berani bermimpi untuk mempunyai kemudahan seperti mereka iaitu pemandu, setiausaha, publisiti setiap hari di akhbar. Malah seumur hayat kami, kami tidak akan meperolehi kemudahan seperti itu.
Saya bukan iri hati tetapi patah hati dengan gelagat yang tidak berbaloi yang diperjuangkan oleh kumpulan 13.
Sebagai seorang rakyat biasa yang tidak menganggotai sebarang parti ataupun mempunyai kekayaan, saya amat berharap Datuk Seri Liow dan kumpulannya dapat menumpukan masa dan tenaganya dalam perihal kesihatan rakyat Malaysia.
Sekiranya boleh diharap beliau, Chew Mei Fun dan pemimpin lain dapat menjelajah ke kawasan bandar dan luar bandar bagi meninjau kehidupan rakyat jelata yang masih tidak dapat akses kepada kemudahan asas seperti kesihatan, pendidikan dan pengangkutan.
Janganlah menghabiskan wang ringgit untuk memancing dan meraih sokongan dengan jamuan-jamuan kepada konco-konco mereka sahaja. Ini langsung tidak memberi sebarang erti kepada kami yang miskin merana ini.
Semoga kumpulan 13 dan pemimpin MCA lain yang serupa dengan gelagat mereka ‘insaf’ dan kembali ke pangkal yang betul.

