Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) merasa terpanggil untuk menyatakan pendiriannya berhubung dengan kenyataan beberapa NGO terutamanya Sisters in Islam (SIS), AWAM, Majlis Peguam, dan P Gunasegaran dari akhbar The Star yang telah mempertikaikan pelaksanaan undang-undang sebat syariah.

Kami berpendapat bahawa ini mencerminkan sikap mereka yang anti Islam dan tidak mahu melihat apa-apa sahaja yang berasal dari agama Islam dilaksanakan di negara ini, walaupun dilaksanakan terhadap orang-orang Islam sahaja.

Tidak syak lagi mereka ini tidak menghormati kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, tidak menghormati perlembagaan  yang memberi hak kepada dewan undangan negeri untuk membuat undang-undang berkaitan dengan hukum syara’ dan sengaja tidak mahu menerima hakikat bahawa negara ini mengamalkan konsep dwi-sistem dalam perundangannya.

Mengenai SIS, MUAFAKAT menggesa kerajaan menyiasat aktiviti-aktivitinya dan dari mana ia mendapat dana untuk aktivitinya, memandangkan SIS secara konsisten terus menerus mencabar pelaksanaan hukuman syariah di negara ini.

Ini secara terus menerus membawa pemikiran yang bertentangan dengan ajaran Islam. Kerajaan juga seharusnya tidak membenarkan SIS menggunakan perkataan ‘Islam’ pada namanya kerana SIS tidak pernah membawa agenda untuk mengangkat martabat Islam.

Demikian juga dengan P Gunasegaran yang menerajui akhbar The Star yang melalui tulisannya bertajuk ‘ Persuasion not compulsion ’ pada 19 Februari 2010 telah melukai perasaan orang-orang Islam di negara ini.

Beliau melanggar batasan-batasan yang telah digariskan di dalam Akta Hasutan dan oleh itu kami menggesa kerajaan supaya bertindak terhadapnya kerana menghasut. 

Kami juga menyokong gesaan supaya kerajaan mengambil tindakan menggantung permit penerbitan akhbar The Star , kerana ia telah secara konsisten mengambil pendirian yang anti-Islam di dalam artikel-artikel yang disiarnya.

Kami ingin tegaskan bahawa umat Islam di negara ini telah sekian lama memperjuangkan hak untuk hidup dalam lingkungan undang-undang syariah, sepertimana yang dituntut oleh syarak, dan sepertimana yang telah dinikmati oleh nenek moyang mereka dahulu semasa negeri-negeri mereka belum dijajah dahulu.

Hak ini telah dinafikan oleh berbagai pihak termasuk pihak penjajah dan pemerintah yang terdahulu.

Pelaksanaan hukuman sebatan ini adalah percubaan pemerintah untuk melaksanakan sebahagian kecil sahaja daripada undang-undang Syariah, dan bukan undang-undang Syariah sepenuhnya.

Inisiatif ini bagaimanapun perlu disokong selaras dengan kedudukan  Islam sebagai agama persekutuan, dan selaras dengan enakmen pentadbiran agama Islam negeri-negeri.

Oleh itu kami menuntut supaya pihak SIS, Awam, Pengarang The Star dan pihak-pihak lain supaya tidak lagi mempersoalkan pelaksanaan hukuman sebat terhadap tiga wanita Islam tersebut.

Kami juga menuntut supaya kerajaan bertindak dengan tegas terhadap mereka yang menentang dan cuba menggugat pelaksanaan undang-undang syariah di kalangan umat Islam di negara ini.

Kami bimbang sekiranya kerajaan tidak bertindak dengan tegas, rakyat sendiri akan membuat perhitungan mereka sendiri.

Sekian, wassalam.


Penulis adalah Timbalan Presiden, MUAFAKAT