Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kanak-kanak menghabiskan masa sekurang-kurangnya satu pertiga dalam sehari di sekolah dan ketika ini mereka makan sekurang-kurangnya satu hidangan di kantin sekolah.

Ini terutamanya di kebanyakan kawasan bandar, di mana kedua ibu bapa mereka bekerja dan tidak mempunyai masa untuk menyediakan bekalan makanan untuk anak mereka.

Makanan merupakan faktor penting untuk perkembangan dan kesihatan manusia terutama sekali bagi kanak-kanak yang sedang membesar. Ia bukan hanya berkhasiat tetapi juga menyihatkan. Ini bermakna kita mesti memastikan hidangan yang disediakan di sekolah berkhasiat dan menyihatkan.

Tabiat makan pelajar sebahagian besarnya dipengaruhi oleh makanan yang didapati di persekitaran sekolah. Makanan yang mereka makan menyumbang sebahagian besarnya kepada pengambilan pemakanan mereka dan akan mempengaruhi perkembangan tabiat makan mereka, corak pertumbuhan dan paras tenaga.

Mengambil makanan yang berkhasiat dan menerapkan gaya hidup sihat akan membolehkan pelajar membesar dan mengembangkan potensi optimum mereka, membawa kepada prestasi pendidikan yang lebih baik.

Diet yang sihat juga memainkan peranan pencegahan berhubung dengan keadaan yang berkaitan dengan pemakanan dan penyakit seperti berat berlebihan, obesiti dan penyakit gigi dan osteoporosis, penyakit kardiovaskular, diabetes mellitus dan pelbagai kanser di

kemudian hari.

Jadi apakah yang didedahkan kepada anak-anak kita di kantin sekolah mereka? Kebanyakan kantin sekolah measih menjual makanan dan snek yang tidak sihat!

Ini diakui oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai. Beliau dipetik oleh pihak akhbar pada 15 Ogos sebagai berkata: Pemeriksaan menunjukkan banyak kantin masih menjual makanan bergoreng yang tidak memenuhi garis panduan kementerian berhubung makanan yang sihat.

Beliau berkata kajian terhadap 10,000 kanak-kanak berusia antara enam dan 12 tahun mendedahkan bahawa 24 peratus daripada mereka mempunyai berat berlebihan atau obes.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat sedih dengan penemuan ini. Sejak bertahun-tahun lamanya kami mendedahkan makanan dan minuman yang tidak sihat yang dijual di dalam dan sekitar sekolah, tetapi masalahnya masih terus wujud.

Panduan Pengurusan Kantin Sekolah dengan jelas menyatakan gula-gula, jeruk dan snek yang mengandungi pewarna dan perisa tiruan tidak dibenarkan.

Garis panduan itu juga menyatakan makanan yang mengandungi gula, garam dan lemak berlebihan, mi segera, kek, aiskrim, minuman dengan pewarna tiruan, minuman berperisa, teh, kopi dan minuman ringan tidak digalakkan.

Garis panduan itu juga menyediakan beberapa perkara yang jelas bagi pengendali makanan kantin bagaimana untuk menyediakan makanan yang kurang gula, garam dan lemak dan juga kepentingan untuk memasukkan makanan yang kaya dengan serat dalam setiap hidangan mereka. Tiada alasan untuk pihak pengendali kantin tidak

mempedulikannya.

Kajian yang dijalankan oleh pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 2008 menunjukkan kanak-kanak mengambil makanan seperti ayam goreng, kentang goreng, nugget, coklat, aiskrim, minuman berkarbonat, biskut berkrim dan jeruk di sekolah.

Kini dua tahun sudah berlalu, Menteri Kesihatan memberitahu kita bahawa tiada yang berubah. Pengendali kantin sekolah melakukan apa yang mereka suka!

Jadi siapakah yang bertanggungjawab terhadap keadaan ini? Adakah pihak berkuasa Persekutuan yang tidak mengawasi atau mengambil tindakan? Atau pihak berkuasa sekolah yang tidak mematuhinya?

Mungkin kita boleh persalahkan kepada kanak-kanak yang menuntut untuk makanan yang tidak sihat itu!

Kami menggesa Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan bertindak menguatkuasakan garis panduan itu. Memastikan pihak kantin sekolah menyediakan hidangan sihat dan berkhasiat untuk kanak-kanak dan mengenakan hukuman yang tegas ke atas pengendali gerai yang enggan untuk bekerjasama.

Menyediakan hidangan yang sihat dan berkhasiat juga bermakna mendidik kanak-kanak mengenai makanan yang sihat dan makanan yang perlu dielakkan di luar sekolah.

Jika diperlukan, pihak sekolah juga seharusnya menyediakan ruang di kantin secara percuma kepada pengendali yang menyediakan hidangan yang sihat dan berkhasiat.

Memandangkan sejumlah besar wang yang dibelanjakan oleh kerajaan di lain tempat, adalah lebih mudah untuk memberikan subsidi kepada sekolah untuk kos kantin, sekiranya wajar.

Adalah penting juga bagi ibu bapa, guru-guru dan pelajar bekerjasama untuk menyokong pendekatan menyeluruh untuk menerapkan budaya di mana pelajar sekolah rendah dan menengah secara aktif memilih makanan berkhasiat dan gaya hidup yang lebih sihat.


Penulis adalah presiden, Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan boleh dihubungi pada tel: 04 8299511 faks: 04 8298109 emel: [email protected]

ADS