Etika Kewartawanan dalam melaporkan pemilihan PKR
Penulis berasa amat kesal dan hampa berikutan salah lapor oleh media yang menyiarkan keputusan Pemilihan Pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Semalam media-media maya dan arus perdana telah melaporkan keputusan pemilihan pimpinan PKR yang menyebut bahawa Datuk Zaid Ibrahim telah mendahului Azmin Ali dalam pengundian jawatan timbalan presiden PKR.
Laporan itu ternyata salah kerana maklumat sebenar jelas menunjukkan bahawa Azmin Ali telah mendahului undi Zaid Ibrahim sebanyak 522 undi.
Tidakan tersebut mengundang tanda tanya banyak pihak tentang agenda sebenar media-media di Malaysia dalam membuat laporan dan berita berkaitan Pakatan Rakyat khususnya PKR.
Tidakan pihak media melaporkan maklumat yang salah, jelas melanggar etika kewartawanan yang sewajibnya didokong. Tugas utama media adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai bagi mendapatkan maklumat yang benar. Penulis teramat kesal dengan insiden ini dan berharap perkara seperti ini tidak berulang lagi.
Nota Editor : Maklumat yang silap berhubung jumlah undi yang diterima oleh calon-calon yang bertanding bagi jawatan timbalan presiden PKR itu dibekalkan oleh laman sesawang rasmi PKR sendiri.
Parti itu kemudiannya membuat penjelasan berlaku kesilapan akibat kemasukan data oleh petugas parti. Justeru, soal media melanggar etika kewartawanan dalam hal ini tidak timbul.

