Penduduk Pandan dakwa kecewa dengan menteri
Kami pengundi-pengundi dari kawasan parlimen Pandan rasa terkilan dan dukacita dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menyifatkan pendedahan ahli parlimen Pandan kami, Datuk Seri Ong Tee Keat, tempohari sebagai ‘imaginasi’.
Sesungguhnya, Liow telah buat kesimpulan mendadak atas dakwaan Ong sebelum isu yang berkenaan disiasat. Pada hakikatnya, Encik Sandra Rengasamy, salah seorang sukarelawan Hospital Ampang pernah menyoal pengarah Hospital Ampang tentang perkara ini dan diberitahu bahawa segala jemputan tetamu kenamaan diuruskan oleh kementerian kesihatan.
Dalam isu ini, jelas ahli parlimen Pandan sengaja dicicirkan namanya dari senarai jemputan “atas arahan atasan” sepertimana didakwa atas sebab tertentu. Isu ini bukanlah kepentingan peribadi Ong tetapi ia melibatkan maruah pengundi Pandan.
Bila wakil rakyat Pandan sengaja tidak dijemput, maka ia bermakna masyarakat setempat tidak diberi penghormatan yang wajar.
Lebih-lebih lagi, hospital ini adalah satu-satunya projek yang diperjuangkan oleh Ong (ketika menyandang jawatan ahli parlimen Ampang Jaya) sejak awal tahun 90an.
Pelaksanaan projek hospital ini sebenarnya merupakan hasil perjuangan beliau yang direstui oleh timbalan perdana menteri ketika itu, iaitu Tun Ghaffar Baba.
Kami turut terkilan lagi terkejut dengan istilah “imaginasi” yang dilafaz oleh menteri Kksihatan. Ini bermakna secara halus bahawa wakil rakyat kami mengidap penyakit jiwa.
Ungkapan seperti ini adalah sangkaan jahat yang buruk sangat dan tidak berbaloi dengan status seorang menteri kabinet.
Tindak-tanduk menteri berkenaan telah mencemar bahkan memalukan seluruh kerajaan. Justeru, kami tidak akan berdiam diri dan sekaligus tampil ke depan untuk menyatakan pendirian dan perasaan terkilan kami.
Semoga Perdana Menteri ambil maklum bahkan prihatin atas isu ini, khasnya bila menteri Kabinet beliau didapati melafazkan sesuatu yang menghinakan seorang wakil rakyat yang berwibawa di kalangan rakyat berbilang kaum.
Penulis adalah penasihat, Persatuan Kebajikan dan Pembangunan Sosial Ampang. Surat ini juga ditandatangani oleh empat individu lain iaitu - S Sunder, N Karu, S Kartik dan Ah Peng

