Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya merujuk akan artikel dalam Utusan Malaysia 8hb. Februari  2011 bertajuk ‘ Isu Logo Halal Tiada Kesudahannya’.  

Dilaporkan hasil kajian oleh unit khas Utusan Malaysia mendapati bahawa  amat banyak makanan harian yang paling biasa dimakan atau dijual dijual di pasar raya; jelas tidak halal dan sangat meragukan. Bahkan yang telah  diharamkan pun masih dijual  bebas secara berleluasa.

Di samping itu ada barang makanan yang dinyatakan ‘halal’  oleh pengusaha makan tetapi  tiada dalam senarai ‘Halal Jakim’ ; namun terpampang logo ‘halal Jakim’  pada bungkusan makanan tersebut.

Adakah memang salah pengusaha makanan memalsukan logo ‘halal’  atau pihak Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) yang gagal menjalankan tugas?

Dalam konteks orang Islam, umumnya makanan  tidak halal itu  cenderung merujuk sebarang unsur yang berkaitan babi, minyaknya, gelatin babi serta dari binatang yang tidak disembelih  dengan kaedah yang sah di sisi agama Islam.

Jika  memakan  hasil sembelihan  tanpa kaedah Islam yang betul,  maka  ia setaraf memakan haiwan yang mati  iaitu dianggap sebagai bangkai.

Saya khuatir, kelemahan penguatkuasaan, pemantauan dan kegagalan mematuhi garis panduan ini akan menimbulkan  empat  perkara :

a)  keresahan pengguna, perasaan benci dan marah yang terpendam di hati oleh umat Islam terhadap pengeluar atau pengusaha makanan bukan Islam. Kemarahan terpendam ini boleh mengancam keselamatan negara, walhal mungkin ada pengusaha yang  benar-benar telus dan berusaha memenuhi kriteria  halal yang diperlukan. Isu halal dan haram ini amat sensitif.

b)  hilang dan luntur kepercayaan rakyat  terhadap institusi Islam seperti Jakim dan agensi-agensi penguatkuasa yang di bawah kelolaan kerajaan, yang memberi kesan terhadap pemerintahan negara. Sepatutnya menteri yang berkaitan kepenggunaan dan bidang hal ehwal umat Islam perlu proaktif akan perkara ini.

c) Sepatutnya Malaysia menjaga statusnya sebagai negara Islam yang dibanggakan oleh negara luar apabila menjadi ‘Halal Hub’ di rantau Asia. Kegagalan Malaysia mengurus dan menjaga status makanan halal bagi rakyat sendiri  dikhuatiri akan merosakkan reputasi negara dan  merencatkan penglibatan pelabur-pelabur dari Timur Tengah dan lain-lain negara Islam dalam industri pemakanan negara.

d) Penyalahgunaan logo halal  dari pelbagai agensi Islam secara berleluasa termasuk 60 peratus logo  halal Jakim akan boleh merangsangkan lagi pengusaha makanan atau pemilik pasar raya  yang majoritinya bukan Islam untuk mengambil jalan mudah, melanggar undang-undang dan mengenepikan soal ‘halal dan haram’;  yang boleh mewujudkan  konflik agama dengan majoriti  umat Islam dalam negara ini. Ini amat merbahaya, dan sesungguhnya mencegah dari awal itu lebih baik untuk mengelakkan nasi menjadi bubur.

Semoga pihak kerajaan, agensi berkaitan dan  pengusaha industri makanan, mengambil langkah drastik  untuk mengatasi masalah ini demi kebaikan  dan keharmonian semua  secara bersama; juga diharap pemilik dan pengusaha makanan bukan Islam yang jujur dan mematuhi undang tidak menjadi mangsa prejudis kerana konflik ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS