Kecewa dengan kenyataan Ibrahim Ali
Kenyataan Datuk Ibrahim Ali mengenai bahasa Melayu dalam Kitab Injil adalah sangat tidak rasional, tidak menghormati rakyat Sabah dan Sarawak dan jelas menunjukkan bahawa beliau langsung tidak mempunyai semangat 1Malaysia.
“Tak masuk akal kenapa sesetengah pihak berkeras hendak edar Injil bahasa Melayu walhal secara rasmi semua orang Melayu adalah beragama Islam.
“Kalau nak edar di kalangan masyarakat di Malaysia Timur, kenapa tidak dikeluarkan ikut dialek masing-masing? Kenapa mesti dalam bahasa Melayu yang bukan 'their mother tongue' (bahasa pertuturan harian mereka,” katanya dalam satu kenyataan media.
Agaknya Datuk Ibrahim belum pernah menjejakkan kaki ke Malaysia Timur. Agaknya beliau masih beranggapan bahawa rakyat di sini masih tinggal di dalam hutan ataupun masih tinggal di atas pokok. (Itu adalah anggapan sebilangan orang di Semenanjung Malaysia). Jika memang sedemikian, memang amat memalukan.
Tidak tahukan beliau bahawa bahasa Melayu juga adalah bahasa pertuturan majoriti rakyat Sabah & Sarawak?
Bahawa selepas Sabah & Sarawak bergabung dengan Malaysia, rakyat di negeri ini terpaksa mempelajari Bahasa Melayu kerana menghormati persekutuan? Disebabkan itu, sebahagian pemuda/i generasi baru tidak fasih berbahasa ‘mother tongue’ mereka?
Kenyataan tersebut adalah sangat mengecewakan. Adakah sekarang Datuk Ibrahim ingin menekankan bahawa bahasa Melayu hanya untuk orang Melayu?
Bahawa bahasa itu tidak boleh diguna oleh bangsa lain? Di manakah konsep 1Malaysia di sini?
Saya berpendapat bahawa Datuk Ibrahim belum lagi lulus dalam pemahaman konsep 1Malaysia sebenarnya. Sia-sia sahaja usaha Perdana Menteri kita mempromosikan 1Malaysia sekiranya ianya tidak dipraktikan oleh pemimpin itu sendiri.
Mengenai kitab injil, ianya sangat tidak difahami apabila kitab-kitab injil berbahasa Indonesia/Melayu yang telah lama diedarkan di Malaysia kini menjadi satu ancaman kepada orang Melayu. (Dulu tidak pun, sekarang?)
Tapi saya tidak ingin mengulas lanjut mengenai perkara ini kerana ramai orang di luar sana yang lebih arif tentang perkara ini.
Saya cuma berharap Datuk Ibrahim agar sedar akan apa yang telah dinyatakannya. PERKASA mungkin hanya ingin mempertahankan hak Melayu tetapi adakalanya hak orang lain juga perlu diambil kira juga.
Bahasa Melayu hanya untuk kaum Melayu? Oh Bahasa Jiwa Bangsa?

