Suara Rakyat Malaysia (Suaram menggesa kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan penyiasatan terperinci berhubung punca yang menyebabkan, insiden membakar bangunan dan tahanan melarikan diri dari Depot Tahanan Imigresen Lenggeng pada 4 April lalu.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Abdul Manan Mohd. Hassan, punca kejadian adalah disebabkan oleh kesesakan dalam blok di pusat tahanan tersebut, tempoh tahanan yang terlalu lama serta beberapa masalah pengurusan seperti penyediaan makanan kepada tahanan.

Suaram yakin bahawa terdapat punca-punca lain yang menjadi penyebab kepada insiden rusuhan dan tahanan melarikan diri dari pusat tahanan imigrasi.

Berdasarkan siasatan bersama yang dilakukan oleh Suaram, Tenaganita dan Majlis Peguam pada insiden yang berlaku pada 21 April 2008 di depot imigrasi yang sama, penyalahgunaan kuasa dan penggunaan kekerasan oleh pegawai imigresen dan angkatan relawan rakyat (Rela) yang bertugas di pusat tahanan merupakan punca yang menyebabkan rusuhan dan membakar bangunan.

Selain daripada itu, kesesakan dalam blok, persekitaran yang kotor dan kelemahan dari aspek pengurusan antara faktor-faktor lain.

Berdasarkan laporan Working Group on Arbitrary Detention yang dikeluarkan Februari lepas bagi sesi lawatannya pada 7-17 June 2010 di Malaysia, masalah-masalah yang sama seperti penyalahgunaan kuasa serta penggunaan elemen penganiayaan ke atas tahanan, kesesakan, kekurangan sumber air bersih, persekitaran yang kotor serta tempoh tahanan yang lama masih berlaku dikebanyakan depot tahanan imigresen.

Insiden yang membabitkan 109 tahanan yang membakar bangunan lalu melarikan diri dari Depot Lenggeng ini membuktikan bahawa masalah-masalah tersebut masih belum menemui jalan penyelesaian dan tiada sebarang tindakan proaktif diambil.

Menurut siasatan pihak polis, sebahagian tahanan yang telah melarikan diri juga telah hilang sabar akibat terlalu lama menunggu untuk proses penghantaran ke negara ketiga oleh Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

Suaram menggesa kerajaan khususnya KDN untuk melakukan penyiasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan bagi menangani masalah-masalah berkaitan pengurusan depot tahanan secara profesional, pencabulan dan penggunaan kekerasan oleh pihak penguasa yang terlibat serta pengurusan aspek hak asasi manusia di kalangan tahanan.

Suaram juga menggesa Jabatan Imigresen memberikan akses kepada pencari suaka untuk bertemu mana-mana pegawai dari UNHCR untuk pengesahan status pelarian. Kerajaan khususnya KDN juga perlu melepaskan semua tahanan yang telah mendapat pengesahan dan di bawah perhatian UNHCR dalam kadar segera.

Suaram juga menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) untuk melakukan penyiasatan terbuka dan bebas bagi menyiasat punca insiden rusuhan dan tahanan melarikan diri serta melakukan siasatan berhubung pengurusan di depot-depot tahanan imigresen seluruh negara.

Akhirnya, Suaram juga mendesak kerajaan meratifikasi Konvensyen 1951 Berkaitan Status Pelarian dan Protokolnya, 1967 bagi mengiktiraf dan mewujudkan kerangka perundangan domestik bagi melindungi pelarian dan pencari suaka di negara ini.


Penulis adalah Koordinator Suaram