Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan Selangor mengutuk Serangan Penafian Perkhidmatan (DDOS) terhadap laman berita portal Sarawak Report dan Malaysiakini yang menyebabkan laman berita bebas itu tidak dapat diakses pembaca dan pelayar internet sejak beberapa hari lalu.

Tindakan pengecut pihak yang terlibat menjelangnya hari pengundian di Sarawak pada Sabtu ini mencerminkan kegelisahan terhadap kemungkinan berlaku perubahan besar kepada keputusan pilihan raya di Bumi Kenyalang itu.

Serangan siber terhadap dua laman berita yang banyak menyiarkan liputan kempen Pakatan Rakyat ini membuktikan pihak yang bersimpati dengan Barisan Nasional (BN) sangat takut terhadap penyebaran kebenaran yang akan mempercepatkan kejatuhan Taib Mahmud dan kerajaannya yang korup.

Situasi di Sarawak ini sama seperti gelombang pemberontakan yang dicetuskan menerusi internet yang membangkitkan gerakan rakyat secara besar-besaran yang berlaku di beberapa negara di Timur Tengah.

Kerajaan Selangor sangat kecewa kerana tiadanya tindakan oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan polis dalam menyiasat serangan siber ini. Pihak berkuasa ini lebih cepat bertindak jika ia melibatkan individu atau pihak tertentu yang ada kaitan secara langsung dengan BN.

SKMM sepatutnya bersikap neutral dan menyiasat dalang yang terlibat dalam serangan siber ini supaya prinsip demokrasi yang kononnya  diamalkan di negara ini, tidak terjejas dan diperlekehkan negara asing.

Kerajaan Selangor komited melaksanakan prinsip ketelusan dan kebebasan maklumat. Ini dibuktikan dengan Enakmen Kebebasan Maklumat yang diluluskan pada sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru sekali gus mencatat sejarah sebagai negeri pertama mempunyai peruntukkan sedemikian.

Kami percaya bahawa setiap warga negara ini  bebas untuk menyatakan pendapat secara aman dan setiap warga Malaysia juga berhak mendapat maklumat bebas dan adil.

Kerajaan Pakatan Rakyat menekankan integriti, kebebasan dan tata-kelola yang menjadi ciri penting kepada pentadbiran di Selangor dan insyaAllah di Sarawak selepas ini.


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah Menteri Besar Selangor

ADS