mk-logo
Surat
Benarkah Tanah Melayu tidak pernah dijajah?

Berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu "tidak pernah terjajah", sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British, dakwa sejarahwan Profesor Datuk Zainal Kling.

"Jangan kita sebut, kita terjajah selama 400 tahun. Itu adalah kesalahan yang amat besar," katanya di Putrajaya baru-baru ini.

Kalau benar tanah air kita tidak pernah dijajah British seperti dakwaan Profesor Datuk Zainal Kling mengapa kita mesti menyambut hari kemerdekaan setiap tahun?

Adakah benar dakwaan profesor tersebut bahawa adalah kesalahan yang amat besar kalau kita katakan kita terjajah selama 400 tahun.

Kalau benar dakwaan profesor tersebut makna selama ini Umno dan BN menipu rakyat kerana menggunakan wang rakyat untuk menyambut hari kemerdekaan setiap tahun. Mengapa pemimpin Umno dan BN membisu dalam persoalan ini?

Kita mendesak agar pemimpin Umno dan BN mengeluarkan kenyataan rasmi untuk mengesahkan sama ada betul atau tidak kenyataan sejarahwan Profesor Datuk Zainal Kling ini yang negara kita tidak pernah dijajah British.

Kalau benar sejarah yang kita pelajari selama ini adalah palsu dan perlu dikaji semula. Jangan salahkan rakyat Malaysia sekiranya sejarah yang mereka pelajari selama ini tidak benar dan

tidak tepat seperti dakwaan profesor tersebut.

Para pengkaji sejarah perlu tampil ke hadapan untuk menjelaskan keadaan sebenar sebelum negara ini akan jadi bahan lawak antarabangsa kerana sejarah kita boleh diubah sesuka hati mengikut kehendak dan kepentingan politik parti pemerintah.

Kita minta agar pengkaji sejarah bebaskan diri mereka daripada pengaruh mana-mana fahaman politik perkauman dan sebagainya agar rakyat Malaysia tahu kebenaran tentang sejarah tanah air ini yang banyak mengelirukan.

Sekiranya dakwaan profesor tersebut benar dan disahkan oleh pemerintah Malaysia maka dengan sendirinya semua sambutan kemerdekaan selama ini palsu dan kita semua boleh menyaman kerajaan Umno dan BN kerana menipu kita selama ini.

Adakah pemimpin Umno sanggup mengaku bahawa Malaya tidak pernah dijajah British?  Suatu persoalan yang perlu dijawab oleh pemimpin Umno dan BN agar rakyat dapat kepastian dan kebenaran tentang sejarah tanah air.

Berani kerana benar takut kerana salah dan sekali lagi kita mendesak agar pemimpin Umno mengeluarkan kenyataan tentang dakwaan profesor tersebut sama ada menerima atau menolak kenyataan Malaya tidak pernah dijajah British.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini