Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Persatuan Persaudaraan Muslimah Negeri Kedah (SALIMAH) dan Badan Gabungan NGO Islam Kedah (WEHDAH) melancarkan Kempen Setahun Menjaga Aurat Sepanjang Hayat bermula 17h Februari 2012.

Tema kempen ini adalah "Menjaga Aurat, Hidup Berkat, Masyarakat Selamat".

Kempen ini adalah bertujuan untuk mendidik dan menyedarkan masyarakat Islam akan kewajipan semua kaum Muslimin sama ada wanita mahupun lelaki agar menjaga aurat mereka dalam berpakaian seperti yang diwajibkan oleh ajaran agama Islam.

Kempen ini akan menyebarkan maklumat dan kesedaran ke seluruh masyarakat Islam agar menghayati hikmah dan manfaat menjaga aurat dalam membina watak masyarakat Islam yang bermaruah, berakhlak dan berprinsip.

Akibat pelbagai asakan pengaruh Barat dan budaya asing, umat Islam kini menghadapi kesan keruntuhan identiti dan penghakisan nilai sahsiah Islam yang amat kencang. Lantaran itu timbul faham yang keliru terhadap kewajipan menjaga pakaian yang menutup aurat dengan sempurna. Timbul suara dan pandangan serong terhadap pakaian menjaga aurat sehingga dianggap bertentangan dengan hak kebebasan individu dalam masyarakat.

Walaupun memakai tudung di kalangan wanita Islam kelihatan sangat meluas dewasa ini namun pakaian tudung dengan segala bentuk dan corak yang difahami oleh masyarakat telah menghilangkan makna menutup aurat seperti yang ditekankan oleh agama Islam.

Fesyen berpakaian ketat tetapi bertudung, menggunakan tudung hanya waktu tertentu sahaja , wujudnya kaum lelaki yang tidak menjaga aurat dalam beriadah dan berseni adalah antara gejala yang kini berleluasa dalam masyarakat.

Tudung yang kini dilihat suatu fesyen terbaru ditanggapi hanya sebagai tren semasa yang akhirnya memesongkan kefahaman masyarakat terhadap pengertian sebenar menutup aurat seperti yang dituntut oleh Islam .

Kini gaya berpakaian bertudung sedang menjalani era komersialisasi yang amat pesat sehingga ramai artis dan wanita muda memakai tudung bukan kerana kefahaman dan penghayatan yang mendalam akan tetapi kerana ia dilihat sebagai tren.

Kempen ini akan melibatkan seluruh lapisan masyarakat serta pelbagai agensi dan pertubuhan Islam supaya konsep menjaga aurat dihayati dan mencapai kesan yang sepatutnya. Ia juga akan melibatkan agensi media, kesatuan sekerja, badan belia, pertubuhan wanita, badan profesional , badan korporat dan persatuan mahasiswa.

Kempen ini akan melibatkan pelbagai aktiviti seperti menyebar risalah dan poster, forum, ceramah penerangan, dialog, khutbah, penerangan di institusi pendidikan dan demonstrasi tatacara berpakaian dalam Islam.

Sehingga kini sebanyak 100 NGO di negeri Kedah telah bersama dalam WEHDAH untuk bersama dalam kempen ini antaranya TERAS, SALIMAH, PUK, ABIM, PERSIDA, ISRA, IMPAK dan Persatuan Warga Luar Bandar. Kempen ini akan menarik institusi masjid dan surau untuk menyertai kempen ini. Kempen ini akan melibatkan seluruh institusi masjid sebanyak lebih 500 buah di negeri Kedah.

Kempen juga akan mengadakan aktiviti dialog dan penerangan kepada badan-badan bukan Islam supaya masyarakat bukan Islam dapat memahami kenapa mereka harus menghormati kewajipan orang Islam menjaga aurat dalam semua aspek kehidupan sosio-budaya-ekonomi mereka.

Memorandum khas mengenai kempen ini juga akan diserahkan kepada kerajaan negeri, jabatan dan agensi swasta untuk mendapatkan perakuan persetujuan dan sokongan mereka terhadap etika menjaga aurat sebagai kod berpakaian pekerja.

Sekretariat kempen ini membuka pendaftaran kepada 100 orang sukarelawan untuk menyumbang tenaga.


Mohd Azmi bertugas sebagai presiden TERAS manakala Rubiyah pengerusi SALIMAH.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS