Saya merujuk kepada cadangan Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, untuk menubuhkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan. Saya menyeru PKR agar memperjelaskan prinsip-prinsip utama disebalik dasar kesihatan negara yang mereka akan perkenalkan demi memastikan suara rakyat akan diambil kira.

Pada amnya, saya merasakan bahawa penubuhan suruhanjaya ini adalah satu cadangan yang baik. Akan tetapi adalah tidak mencukupi bagi sebuah parti yang ingin memerintah negara untuk menggambarkan konsep dasar dalam satu perenggan sahaja tanpa menerangkan intipatinya dengan lebih mendalam.

Pertama sekali, saya ingin mencadangkan agar suruhanjaya ini wajib dibebaskan daripada politik kepartian dan diberikan status ‘suruhanjaya bebas’.  Ini akan memastikan ia lebih berupaya untuk

memberi sepenuh tumpuan kepada penambahbaikan perkhidmatan kesihatan tanpa dipengaruhi kepentingan politik.

Kedua, saya mencadangkan agar falsafah bahawa "penjagaan kesihatan adalah tanggungjawab individu" dijadikan salah satu prinsip utama yang memacu suruhanjaya ini.  Jangan dibiarkan individu yang enggan bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri menjadi beban terhadap

negara dan rakyat terbanyak semata-mata atas alasan remeh bahawa itu adalah “hak” mereka.  Hak mesti datang bersekali dengan tanggungjawab.

Individu yang sengaja tidak mahu bertanggungjawab adalah tidak berhak untuk menuntut orang lain membayar kos rawatan mereka.  Bagi mereka yang bertanggungjawab tetapi tidak mampu, satu mekanisme perlu dirangka untuk memastikan kebajikan mereka terjaga.

Ketiga, jumlah perbelanjaan negara tidak boleh menjadi tanda ukur kualiti perkhidmatan kesihatan. Tiada gunanya perbelanjaan kesihatan dinaikkan kepada 5-6 peratus seperti yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia jika kesannya tidak sampai kepada rakyat.  

Sebagai contoh, perbelanjaan kesihatan kerajaan Amerika Syarikat adalah antara yang paling tinggi di dunia tetapi kualiti perkhidmatan yang diterima oleh rakyatnya tidak konsisten dan amat berbelah-bagi.  Adalah lebih berfaedah sekiranya kita boleh menstabilkan perbelanjaan negara secara umumnya tetapi pada masa yang sama mempertingkatkan kualiti perkhidmatan.  

Maka penanda aras yang digunakan mestilah berdasarkan kesan klinikal ke atas rakyat, bukannya jumlah wang yang dibelanjakan.

Keempat, nisbah perbelanjaan kesihatan swasta berbanding perbelanjaan kerajaan juga tidak boleh dijadikan ukuran.  Kewujudan sektor swasta yang mampan tidak bermaksud rakyat berada dalam keadaan perit.

Malahan, ia mungkin menunjukkan bahawa sejumlah besar rakyat Malaysia mampu membiayai kos kesihatan tanpa bergantung kepada dana kerajaan.

Sebaliknya, persoalan yang perlu ditanya ialah mengapa sebegitu ramai yang memilih untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan swasta?  Adakah ini menunjukkan bahawa kualiti perkhidmatan kerajaan perlu diperbaiki?

Pakatan Rakyat mestilah tidak melakukan apa-apa tindakan yang boleh menggugat perkembangan dan sumbangan sektor swasta dalam bidang kesihatan.  Tatkala ekonomi dunia sedang tidak menentu, adalah tidak bertanggungjawab sekiranya PKR memperkenalkan dasar yang akan menaikkan jumlah perbelanjaan kerajaan dengan cara merampas peranan

yang dimainkan dengan baik oleh sektor swasta.  

Sebarang bentuk suruhanjaya yang ditubuhkan mestilah berusaha mengharmonikan peranan

kedua-dua sektor swasta dan sektor awam dengan baik.


Penulis adalah felo, Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS)