Luahan hati rakyat
Tatkala didalam mengejar untuk menjadi negara maju, kadang kala kita leka bahawa ia seharusnya seiring dengan mentaliti, pemikiran, adap budaya, sosio ekonomi dan politik.
Tetapi sebagai seorang rakyat marhain yang sentiasa mengikuti perkembangan pembangunan dan politik negara, kadangkala terasa mual dengan apa yang disajikan, yang didengar, yang dibaca, yang dilihat dan berasa jelek dengan suasana politik negara.
Memang betul kita sedang menuju kearah kematangan berpolitik, tetapi nilai nilai yang sepatutnya diterapkan kadangkala dilihat tidak diambil peduli.
Debat
Budaya debat dikalangan ahli politik telah meluas diadakan di luar Negara. Walaupun Malaysia masih merangkak, tetapi bibit-bibit debat telah nampak cuba dihidupkan. Syabas diucapkan kerana kita sedang melalui tranformasi berpolitik yang semakin matang.
Tetapi persoalannya adakah debat yang disajikan boleh dikategorikan sebagai debat? Atau ia hanya perang mulut di atas pentas?
Umum pastinya telah mengetahui beberapa siri debat yang telah diadakan contohnya Datuk Seri Anwar Ibrahim lawan Datuk Seri Saberi Chik, Lim Guan Eng lawan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan beberapa siri debat telah mendapat liputan yang meluas.
Dari segi pengamatan, Ya, ia debat.. tetapi isinya boleh dikatakan sebagai ‘hampeh’. Walaupun bukan semua isinya, tetapi ia tidak dapat mencapai tujuan sebenar.
Serangan peribadi menjadi landasan, tuduhan liar tanpa fakta disajikan, ‘home work’ tidak dilakukan dan akhirnya pentas debat menjadi pentas tuduh menuduh.
Bukan semua, hanya segelintir sahaja pendebat sebegitu. Rakyat tahu siapa diatas pentas dan yang pastinya rakyat mahukan yang terbaik dari mereka. Tetapi harapan hanya tinggal harapan. Apa yang dilihat hanya lawak jenaka.
Bukan hendak ipertikaikan kebolehan berdebat. Ya benar ada dikalangan pendebat yang sangat berkaliber. Tetapi seperti yang saya katakan, ianya tidak dapat mencapai matlamat sebenar.
Media
Media memainkan peranan didalam memberikan infomasi kepada rakyat. Media cetak, elektronik, media internet telah berkembang meluas. Kebebasan bersuara menjadi amalan. Tetapi awas, kebebasan bersuara juga boleh menjadi senjata makan tuan.
Paling mudah, perhatikan media arus perdana. Cerita meletop tetapi isinya tidak relevan. Ia menjadi tempat menyerang pihak lawan yang telah di ‘senyapkan’. Malah pihak lawan langsung tiada peluang membela diri seperti mereka telah dijatuhkan hukuman bersalah.
Rakyat kadangkala menjadi bingung. Yang tahu mencari jawapan di media alternatif mungkin mendapat maklumat sebenar. Tetapi bagaimana dengan yang hanya mengharapkan media ‘percuma’? Adakah rakyat perlu disuapkan berita sebegini? Adakah cetek benar pemikiran orang Malaysia ini sehingga dianggap boleh ditipu siang malam?
Mana taknya, laporan berita berat sebelah. Ulasan pula daripada pihak ‘musuh’. Sudah semestinya tidak memihak kepada pihak lawan.
Yang memberi ulasan pula selalunya memberikan ulasan yang mengarut, kekanak-kanakan, info yang tidak tepat dan selalunya nampak ‘bodoh’. Tetapi pemberi ulasan bukan orang sembarangan, ada menteri, ada ahli parlimen, ada pakar motivasi, ada doktor, ada professor dan macam-macam pangkat.
Itu tak kira lagi dari pangkat senator sehingga berpangkat ‘Tun’. Lemah rasanya mendengar, meluat bila melihat, apatah lagi nak di’hadamkan’.
Pemikiran rakyat Malaysia telah jauh dari takuk lama. Berikan info yang terkini dan tepat. Ulasan yang sama rata, neutral dan membina. Ubah persepsi dan bina semula keyakinan rakyat kepada media arus perdana ini. Sekiranya ini dapat dilakukan, negara maju seiring dengan pemikiran rakyat bukan lagi omong kosong.
NGO
NGO tumbuh bak cendawan. Banyak dan terlalu banyak. Matlamat yang di war-warkan tampak gah. Matlamat yang sebenarnya tak siapa tahu. Ada wakili bangsa, ada wakili agama, ada wakili persatuan dan macam macam lagi.
Ada macam-macam nama, dari Anak hingga Bapa, dari Lemah Hingga Perkasa dan yang terbaru nama ‘beras kampit’ pun ada. Cuma yang belum ada yang mewakili ‘pendatang tanpa izin’ atau PATI.
NGO ini bukan parti politik. Ia ditubuhkan atas matlamat-matlamat tertentu. Tetapi akhir-akhir ini NGO-NGO ini mendapat liputan yang sangat meluas. Sangat meluas sehingga cerita tentang kesusahan rakyat, cerita pasal pembangunan, cerita pasal negara tenggelam.
NGO-NGO ini seakan menjadi lidah rakyat. Entah siapa yang melantik mereka menjadi wakil kepada rakyat menjadi persoalan yang tak terjawab. Setiap hari wajah wakil-wakil ini keluar dikaca television.
Mereka tidak kacak, mereka tidak muda, tetapi pandangan mereka seperti sangat diperlukan. Tapi sayang, dah nampak seperti parti politik daripada NGO. Kalau nak jadi parti politik silakan. Daftarlah dengan sah. Jangan terpekik terlolong macam tong kosong.
Ingat matlamat yang sebenar. Jangan hanya hangat-hangat tahi ayam. Tunjuk dan buktikan dengan intelektual. Biar rakyat yang menilai.
Apa yang ‘termaktub’ di atas hanyalah pandangan seorang rakyat yang cintakan Malaysia.

