Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kami menyatakan sokongan terhadap pendirian dan tindakan mahasiswa seluruh Malaysia yang menuntut proses pemilihan perwakilan pelajar atau pilihanraya kampus (PRK) yang telus dan bersih.

PRK bakal berlangsung di kebanyakan universiti di seluruh neagra pada 25 September (esok).

PRK wahana kemasyarakatan dalam konteks kampus yang bertujuan memberi kesedaran tentang kepentingan berperanan sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab, dengan menunaikan amanah melantik kepimpinan melalui proses demokrasi.

Justeru, kami menolak segala bentuk perancangan, tindakan dan percubaan sebarang pihak dalam usaha memenangkan calon pilihan universiti atau ‘pro-universiti'.

Sekiranya pihak berkenaan merancang memenangkan calon tajaan pilihan pihak-pihak tertentu dengan pelbagai bantuan dan dana, apalah ertinya pilihan raya diadakan? Campur tangan seperti ini perbuatan yang biadap dan terkutuk.

Segala tindakan songsang yang mencabuli prinsip-prinsip asas demokrasi dalam PRK adalah pencabulan terhadap hak mahasiswa dan penghinaan terhadap universiti.

Malah, kami berpendapat, 'pencabul' itu juga merupakan penderhaka terhadap negara dan bangsa yang kita cintai dan wajar mereka segera bertaubat dan berundur daripada terus memegang keududkan penting dalam institusi pendidikan dan kerajaan.

Oleh yang demikian, kami menyeru kepada mahasiswa untuk memilih calon-calon yang berkelayakan untuk dijadikan pemimpin di kampus masing-masing.

Pemimpin mahasiswa adalah individu-individu yang mampu berdikari, berpegang kepada prinsip, jujur, amanah dan mempunyai budi pekerti mulia.

Calon-calon yang mesti dipilih adalah calon yang bukan sahaja mempunyai kemampuan menunaikan manifesto, tetapi juga mampu menjadi uswah dan qudwah kepada warga universiti.

Pihak kami tidak pernah atau akan bersekongkol dengan mana-mana pihak yang mengkhianati prinsip-prinsip asas demokrasi dalam PRK kali ini.

Kami juga tidak bersubahat dengan sebarang perbuatan fitnah, kata-kata kesat, adu domba, ugut atau memangsakan lawan politik yang boleh menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat dalam kampus.

Justeru, kami menyeru dan menyarankan supaya kesedaran tentang kepentingan berlaku jujur dan berprinsip terus disuburkan dalam arena politik.

Pendidikan dan pembudayaan politik yang sihat sangat penting demi memastikan mahasiswa lebih matang dan dapat memimpin negara pada masa hadapan secara berprinsip dan berintegriti.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (KARISMA)

Ma'ruf Club UIAM (MC)

We Unite For Islam (Wufi)

ADS