Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya memulakan kerjaya dalam bidang politik seawal 20-an, setahun selepas Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Alhamdulillah, saya sempat untuk berkhidmat sebagai pembantu khas kepada dua orang timbalan ketua menteri (1) Pulau Pinang.

Sebagai anak muda, saya merasa amat bertuah dapat berkhidmat dan sama-sama menyumbang jasa kepada rakyat dan negeri tercinta.

Malah ramai lagi rakan-rakan sejawat saya di pejabat exco yang lain turut berusia muda seperti saya.

Kami diberikan pendedahan dan belajar dari kesilapan dalam melaksanakan tugas. Satu pengalaman yang amat berharga buat generasi muda Malaysia.

Saya jarang mengambil peluang memuji atau membodek majikan saya. Maaf itu bukan cara saya. Saya tulis artikel ini di saat saya telah meletakkan jawatan sebagai pembantu khas kepada Timbalan Ketua Menteri (1) Datuk Mansor Othman.

Justeru, saya tidak ada apa-apa kepentingan lagi untuk membodek "bos" saya itu lagi.

Apabila isu rakaman mesyuarat ini keluar, saya berasa terkejut, namun sudah menjadi asam garam politik. Lebih menyenangkan, Mansor hanya bersahaja bila berdepan dengan isu ini.

Untuk apa melompat?

Untuk apa melompat? Kita perlu bersedia berhadapan dengan rintangan politik. Demikian ujarnya.

Mungkin ramai yang tidak mengenali beliau jika dibandingkan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Namun sejujurnya saya boleh katakan bahawa beliau merupakan seorang majikan yang sangat rajin bekerja.

Di usia 60 tahun, Mansor masih lagi gagah ke hulu ke hilir menjalankan kewajipan sebagai seorang Yang Berhormat. Masih lincah bermain sepak ternjang politik yang kadang kala amat memualkan.

Di sebalik wajah beliau yang mesra, beliau sebenarnya seorang yang sangat tegas di pejabat. Beliau sangat menepati amsa.

Saya mengagumi disiplin yang beliau punya terutama sekali dari sudut ketepatan masa. Saya masih ingat bagaimana satu pejabat ibarat dilanda taufan apabila beliau naik angin kerana staf datang lambat ke pejabat.

Lebih pelik, biarpun beliau terpaksa ke Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat dan pulang sekitar jam 3 pagi, keesokan hari jam 8 pagi, beliau sudah tiba di pejabat dan sedia menjalankan tugas sehingga lewat malam pula.

Kadang-kadang kami yang muda ini lebih banyak mengeluh daripada beliau.

Jadual beliau padat setiap hari dari menghadiri mesyuarat, turun padang ke kawasan, melawat orang sakit, menghadiri ceramah, berdepan dengan seribu satu kekusutan, dengan kesemua masalah under the sky yang perlu ditangani oleh beliau.

Menanggung 'dosa' orang terdahulu

Bekas profesor madya di Universiti Sains Malaysia (USM) ini jarang memberi ruang kepada kesalahan. Beliau sangat teliti.

Mungkin kerana didikan dan asuhan yang diterima ketika menjawat jawatan setiausaha politik kepada timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjadikannya begitu teliti menjalankan tugas.

Kegemaran beliau dalam bekerja adalah kepada "fakta dan angka" dalam membuat sebarang keputusan. Perkara ini begitu mencabar kami yang baru setahun jagung bekerja.

Kesemua perkara yang ingin dibawa kepada beliau perlu mempunyai latar belakang cerita yang jelas. Perlu mempunyai basis yang kuat serta angka-angka yang tepat.

Kadang-kadang saya dapat rasakan yang sebenarnya saya sedang bekerja sebagai pegawai kajian di universiti daripada pembantu khas.

Sebagai pemimpin nombor dua di Pulau Pinang, beliau sememangnya berdepan dengan pelbagai isu terutama sekali harapan rakyat yang terlampau tinggi selepas kemenangan Pakatan Rakyat.

Rakyat dahagakan perubahan dan berminat untuk menikmati perubahan yang segera, pantas dan terus kepada mereka. Ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk sebuah kerajaan baru.

Saya yakin, rakyat Pulau Pinang kini dapat merasai nikmat perubahan tersebut. Dalam masa yang sama, isu kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang yang sememangnya "dosa" pemimpin terdahulu terpaksa beliau tanggung dengan beban yang berat.

Erti sebenar keadilan

Bukan mudah berdepan dengan isu penduduk Kampung Tanjung Tokong, Kampung Pisang Awak, isu-isu berkaitan agama Islam yang sengaja dipolitikkan, sehinggalah isu masa depan bola sepak Pulau Pinang yang mengalami zaman suram menjadi satu bentuk cabaran yang amat besar kepada beliau.

Sebahagian masa beliau, tertumpu kepada menyelesaikan isu-isu lapuk yang memerlukan perhatian penuh. Ini menyebabkan beliau kadang kala tidak punya cukup masa untuk popular.

Namun begitu, beliau sebenarnya telah telah melaksanakan banyak perkara untuk kepentingan politik orang Melayu di Pulau Pinang. Sebagai contoh skim mikro kredit di bawah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) adalah buah fikiran dan usaha beliau.

Pembangunan Galeri Warisan Guar Kepah yang berjaya menemui bahan arkeologi berusia 6,000 tahun adalah contoh kebijaksanaan beliau.

Penubuhan Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP) yang tidak pernah difikirkan oleh pemimpin sebelum ini juga merupakan salah satu ketegasan beliau.

Saya masih ingat dengan jelas bagaimana beliau begitu menekankan peri penting YIPP ditubuhkan. Saya telah diminta oleh beliau untuk memastikan penubuhan YIPP berjalan lancar.

Alhamdulillah, Saya mengambil kira-kira 6 bulan untuk menubuhkan YIPP. Kini cabarannya untuk mengisinya pula.

Sebagai seorang pemimpin, anda akan dapat rasakan keramahan dan sentuhan beliau secara bersahaja, tidak sombong dan paling penting penyabar. Beliau mampu bersabar dengan kerenah saya yang kadang-kadang menyenangkan tetapi lazimnya menyusahkan.

Saya benar-benar belajar daripada beliau erti sebenar keadilan. Benarlah bagai dikata seperti yang disebut teman sepejabat saya John: Dia bos, dia guru, dia kawan.

ADS