Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

Sebagaimana yang dimaklumi, tapak seluas 7.5 ekar di Jalan Kg. Pandan, Kuala Lumpur milik Yayasan Selangor akan dibangunkan sebagai pusat komersial sebagaimana persekitarannya. Pembangunan tersebut akan dimulakan pada awal tahun 2013.

Sebagai ganti kepada Asrama Yayasan Selangor Kuala Lumpur (AYSKL), Yayasan Selangor akan membina sebuah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang boleh menampung 1,000 pelajar, yang menelan belanja tidak kurang daripada RM50 juta (tidak termasuk kos tanah).

Kos pembinaan SBP dibiayai daripada pulangan cadangan projek usahasama memajukan tapak AYSKL, Jalan Kg Pandan dengan pulangan kepada YS tidak kurang daripada RM300juta ("in cash and kind").

Pihak kami ingin memberikan jaminan bahawa semua proses pembangunan hartanah Yayasan Selangor kini dan akan datang adalah telus dan sama sekali tidak boleh disamakan dengan projek-projek yang telah dijalankan sebelum ini oleh pengurusan terdahulu.

Yayasan Selangor kini amat berhati-hati dan mensyaratkan pulangan kepada YS daripada sesuatu projek usahasama ( joint-venture ) adalah 30:70; di mana YS perlu mendapat 30 peratus keuntungan daripada Gross Development Value (GDV) projek tersebut.

Ini dilakukan bagi menjaga kepentingan Yayasan Selangor dan rakyat Negeri Selangor.

Ini amat berbeza dengan proses pembangunan semasa pemerintahan BN dahulu, di mana YS hanya mendapat antara 3 - 5 peratus sahaja daripada GDV.

Ini terbukti daripada pembangunan tanah di Persimpangan Jalan Raja Muda/Jalan Tun Razak, Kg Baru apabila YS hanya mendapat sebuah bangunan bernilai RM54 juta, sedangkan GDV projek tersebut adalah sekitar RM1.8 bilion.

Begitu juga dengan projek-projek lain seperti pembangunan tanah di Petaling Jaya, Klang dan Kelana Jaya.

Semua projek kini adalah melalui proses tender terbuka, sedangkan pada zaman BN dahulu ia dijalankan secara rundingan terus.

Disebabkan pulangan yang amat rendah dan proses rundingan terus, pihak kami berpendapat kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa dalam proses tersebut.

Semua kepincangan proses pembangunan hartanah YS pada masa dahulu akan melalui proses "forensic audit" tidak lama lagi. Pemilihan auditor kini sedang ditender secara terbuka.

Tuduhan-tuduhan kononnya pihak pengurusan tertinggi YS atau Kerajaan Negeri Selangor mempunyai kepentingan dan berhasrat untuk menjual tanah milik YS adalah fitnah semata-mata.

Kami menganggap tuduhan liar tersebut hanyalah tindakan terdesak pihak-pihak tertentu untuk memancing undi dan menjatuhkan imej kerajaan Pakatan Rakyat, memandangkan pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tidak lama lagi.

Oleh itu, pihak kami ingin mengingatkan kalangan tertentu supaya tidak menyamakan proses tender kini yang dikendali secara telus/terbuka di YS, dengan proses pembangunan secara "runding terus" semasa zaman BN tidak lama dahulu.


ILHAM MARZUKI pengurus besar Yayasan Selangor. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS