Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat

A sSajjad Movement kecewa dengan ura-ura Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menganjurkan sebuah bengkel yang bertujuan untuk memburuk-burukkan golongan minoriti Syiah Islam di Malaysia.

AsSajjad Movement difahamkan bahawa Abim bercadang mengadakan sebuah acara dengan tema "Bengkel Bahaya Syiah" yang bakal berlangsung pada 13 April 2013 di Universiti Selangor (Unisel). Bengkel tersebut akan disampaikan oleh Encik Mohd Naim Mohd Noor, timbalan presiden ABIM.

AsSajjad Movement kesal kerana tindak-tanduk pihak ABIM ini bertentangan dengan Islamabad Declaration (2007) yang ditandatangani oleh Datuk Syed Hamid Albar bagi mewakili Malaysia ketika berlangsungnya The Thirty Fourth Session Of The Islamic Conference Of Foreign Ministers.

Islamabad Declaration (2007) menegaskan bahawa: "No Muslim, whether he or she is Shi'ite or Sunni, may be subject to murder or any harm, intimidation, terrorisation, or aggression on his property; incitement thereto; or forcible displacement, deportation, or kidnapping. All Muslims to refrain seriously from any provocation of sensitivities or sectarian or ethnic strife, as well as any name-calling, abuse, prejudice or vilification and invectives."

Selain Islamabad Declaration (2007), pihak Abim juga wajar diingatkan dengan ijma' ulama seperti yang dicapai melalui The Amman Message (2006). Deklarasi tersebut telah memutuskan bahawa mazhab Syiah Imamiah diterima sebagai salah satu mazhab yang sah dalam Islam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Hussein juga pernah menyatakan bahawa pengikut ajaran Syiah di Malaysia bukanlah ancaman. Kenyataan beliau ini dilaporkan oleh Berita Harian pada 20 Disember 2010 menerusi laporan ‘Syiah Bukan Ancaman'.

Penggunaan kata ‘bahaya' untuk ‘komuniti Syiah' seperti yang ditonjolkan pada tema ‘Bengkel Bahaya Syiah' yang direncana oleh ABIM ini menunjukkan Abim melakukan pelabelan dan bertindak melulu mengatasi suara pihak berkuasa.

Akhir sekali AsSajjad Movement ingin menegaskan pandangan Syeikhul Al-Azhar, Dr Muhammed Sayyid Tantawi ketika hadir menerima Ijazah Doktor Kehormat dari University Science Islam of Malaysia (USIM) bahawa penganut Sunni dan Syiah adalah satu.

Pandangan Sayyid Tantawi dilaporkan di muka hadapan oleh akhbar Utusan Malaysia pada 17 Februari 2008 di bawah tajuk laporan ‘Anti Islam: Jangan Mudah Hukum Barat'.

AsSajjad Movement berharap kerajaan negeri Selangor yang dipimpin oleh gabungan parti pembangkang menunjukkan teladan yang baik dalam menghormati hak-hak kaum minoriti.


Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS