Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahasiswa Keadilan Malaysia ingin mengeluarkan kenyataan balas berhubung dengan  kenyataan yang dibuat oleh bekas perdana menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menyampaikan ucap utama dalam program “Mahasiswa dan Graduan Pewaris Kepimpinan Negara di Universiti Teknikal Malaysia, Melaka bertarikh 30 Mac lalu.

Beliau menuduh mahasiswa sekarang sebagai tamak dan tidak bersyukur dengan pemberian kerajaan.

Pada pendapat kami, mahasiswa bukanlah tamak dan tidak bersyukur dengan apa yang ada. Cuma kami menuntut supaya penambahbaikan dilakukan untuk sistem pengajian tinggi negara.

Kualiti silibus, metod pengajaran,demokrasi kampus, autonomi universiti dan dasar yuran pengajian masih banyak yang perlu dibaiki. Sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk menyediakan yang terbaik untuk rakyat.

Dan sememangnya menjadi tanggungjawab rakyat untuk memikirkan apa yang terbaik untuk negara.

Mahasiswa juga tidak terikat untuk mengundi parti yang memerintah sekarang. Sekiranya mahasiswa merasakan apa yang dilakukan sekarang tidak sempurna, banyak kepincangan dan salah laku, maka itu adalah hak mereka untuk mengkritik dan mempertikai.

Mahasiswa juga mempunyai hak untuk mengundi parti yang mereka rasa lebih layak untuk meneraju kerajaan.

Dr Mahathir seharusnya muhasabah diri sebelum menuduh pihak lain tamak dan tidak bersyukur. Muhasabah diri untuk apa yang beliau telah lakukan kepada demokrasi dan pentadbiran negara.

Demokrasi negara hancur di bawah pentadbiran beliau. Begitu juga dengan demokrasi dan kebebasan akademik di kampus. Beliau jugalah yang menggubal undang-undang zalim seperti AUKU untuk menyekat kebebasan bersuara mahasiswa.


HAZIQ ABDUL AZIZ presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

ADS