Puteri Umno yang dipopularkan oleh media milik kroni Umno kelihatan vogue dan penuh glamour . Tapi kini dalam Puteri ada pergolakan besar yang sedang berlaku serta kejadian rampas-merampas kuasa pula!

Dalang di sebalik keretakan Puteri nampaknya ialah Mastina Abdul Hamid, bekas Ketua Penerangan Puteri yang memegang jawatan itu tidak sampai setahun.

Dikhabarkan bahawa Mastina dan penyokongnya cuba menolak Ketua Puteri Azalina Othman keluar dan cuba merampas jawatan itu. Malang baginya Mastina telah tersingkir terlebih dahulu.

Mastina pun memasang strategi iaitu dengan mereka satu cerita yang dapat menjatuhkan imej Azalina. Dia ke sana-sini memberitahu ahli Puteri supaya jangan percaya pada Azalina. Katanya, Azalina telah menyepak mukanya dan kemudian memecatnya daripada exco Puteri.

Dari mula lagi Mastina telah mengumpul orangnya untuk dijadikan pemimpin-pemimpin Puteri. Tengok sahaja berapa ramai exco Puteri yang sudah meletak jawatan/tersingkir. Padahal Puteri baru berusia belum setahun dan belum pun perlembagaan Umno dipinda untuk mengesahkan kedudukannya dalam Umno sudah terjadi hal sebegini. Itulah politik Umno.

Yang rugi dalam hal ini tentulah Azalina sebab dia adalah Ketua Penaja yang sepatutnya meletakkan batu asas yang kukuh bagi Puteri. Tapi dengan adanya musuh-musuh dalaman, matlamatnya mungkin tidak kesampaian. Terlepaslah dia imej Ketua Puteri pertama yang berjaya menaikkan Puteri. Malang baginya sebab dia bukan tidak berkebolehan tetapi mencurahkan tenaga ke tempat yang salah dan pada masa yang salah.

Dan yang tersenyum puas tentulah makcik-makcik dan nenek-nenek Umno dalam Wanita yang sememangnya tidak menyenangi Azalina. Mereka memang tidak menyambut Puteri lebih-lebih lagi "budak mentah yang bermulut laser" itu. Wanita, yang diketuai Rafidah Aziz, memang berusaha menjatuhkan Azalina dan meletakkan proksi Wanita sebagai Ketua Puteri supaya Wanita dapat mengawal Puteri. Permusuhan Rafidah-Azalina bukannya satu rahsia. Kedua-duanya bermulut lepas dan amat sukar hendak merahsiakan permusuhan mereka.

Kehadiran Mastina dalam Puteri berjaya memporak-perandakan Puteri dengan amat cemerlang sekali. Dalam kurang setahun saja, Puteri sudah berpecah-belah dan berperang sesama sendiri mengalahkan parti-parti yang telah berpuluh tahun bertapak.

Ada pemerhati berpendapat ada pihak yang bekerja keras menjatuhkan Azalina seawal yang mungkin dan peluang ini terbuka pada Perhimpunan Agung Umno bulan Mei ini. Pihak-pihak ini berharap Azalina dapat dijatuhkan dengan cara yang memalukannya di hadapan Wanita, musuh-musuhnya serta semua delegasi dari seluruh negara.

Setelah berlaku kemelut dalam Puteri ini, Perdana Menteri tentulah berasa rimas dan pening kepala dengan budak-budak perempuan yang bergaduh ini. Dia menubuhkan Puteri untuk membaiki imej Umno dan menarik budak-budak muda tetapi sekarang ia jadi beban pula! Tentulah Perdana Menteri tidak teragak-agak membuang sesiapa saja dalam Puteri demi menyelamatkan maruahnya!