Saya ingin merujuk kepada agenda Mogok Lapar di Taman Melewar, Kuala Lumpur, sempena ulangtahun pertama penahanan enam aktivis reformasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Nampak gayanya agenda dan program yang dijalankan lebih menjurus kepada ke arah ke-Melayuan atau ke-Islaman (saya pun tidak pasti). Tiada kelihatan acara dari kaum Cina atau India, selain daripada sukarelawan mogok lapar yang ada orang Cina dan India. Adakah pihak penganjur tidak peka dan prihatin tentang pentingnya kerjasama dan penglibatan dari pelbagai kaum?

Seterusnya ia mencerminkan sikap penganjur yang kelihatan lebih menarikan rentak parti atau persatuan yang berbau ke-Islaman atau ke-Melayuan (sekali lagi, saya tidak pasti). Mendengar ceramah pun ada pula 'peruntukan'nya. Orang lelaki semua di tengah-tengah, orang perempuan (seperti di semua parti dianggap sebagai 'sayap' wanita), diperuntukkan kerusi di bahagian tepi, dari segi keluasan mengambil lebih kurang 10 peratus keluasan dewan.

Pada hemat saya, ini mencerminkan sikap parti gabungan alternatif yang menganggap :

  • Oleh kerana acara kempen Mogok Lapar dijalankan di markas PAS, semua pihak harus mengikut tatacara PAS.
  • Sekiranya orang bukan Islam merasa canggung dan dipinggirkan, itu masalah mereka — mereka kenalah belajar menyesuaikan diri dan menerima realiti keadaan.
  • Orang perempuan, seperti biasa, hanyalah sayap dan pembantu orang lelaki. Memang tidak ramai yang boleh datang kerana tugas wajib mereka adalah menjaga rumahtangga sementara suami pergi mendengar ceramah. Jadi tidak perlulah menyediakan ruang yang besar untuk orang perempuan. Ruang di tepi juga memadai.
  • Orang bukan Islam merasakan tidak harus menegur pihak penganjur kerana mereka hanya 'menumpang' acara sahaja dan lagi pula, segala-galanya diuruskan oleh orang PAS, JIM (Jemaah Islah Malaysia), Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia). Kegagalan mereka menarik orang Cina dan India (yang diandaikan bukan Islam) hadir dan menyokong kempen mogok lapar membuatkan mereka merasa segan untuk memaksa pihak penganjur mendengar pandangan mereka.
  • Sekiranya parti gabungan alternatif mahu dilihat mewakili semua golongan di Malaysia, mereka harus menilai semula strategi yang sekiranya tidak disemak secara objektif, akan menjadi padah dan dijadikan bahan gurauan.