Singapura didakwa sengaja mahu mencipta masalah
Dalam lidah pengarangnya, Berita Harian menegaskan bahawa Singapura tidak harus melonjakkan martabatnya ke tahap terlalu tinggi sehingga melihat yang lainnya sebagai kerdil dan boleh dikotak-katikkan.
Tertarik dengan ulasan yang dibuat dalam ruangan ini, mendorong saya turut memberi pendapat. Saya amat setuju dengan ungkapan yang disebut dalam perenggan di atas.
Singapura memang merasakan diri mereka lebih. Memandangkan kedudukan istimewa mereka di sisi kuasa besar barat, hubungan dagangan yang kukuh, persamaan ideologi dan kepentingan, menjadikan diri mereka kebal.
Malaysia adalah negara Islam yang berdaya maju, tidak mempunyai kekuatan strategi yang serupa. Oleh itu, adalah menjadi kepentingan barat dan Singapura untuk melihat Malaysia tidak stabil.
Sedikit pergolakan dengan Singapura akan mengakibatkan pelabur lari dari Malaysia, dan ini akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Singapura bukan sahaja mengacah tetapi memang sengaja mahu mencipta masalah. Mereka amat percaya bahawa dalam apa jua suasana konfrantasi dengan Malaysia akan menguntungkan mereka.

