Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dari masa ke semasa, kita pasti akan mendengar seruan daripada pihak yang tertentu yang menyeru supaya sekolah jenis kebangsaan ataupun sekolah vernakular dihapuskan dan ditukar kepada sekolah kebangsaan.

Mereka yang melakukan seruan ini sentiasa mengatakan ini adalah untuk tujuan perpaduan. Tidakkah pandangan ini terlalu simplistik?

Ia memang tidak dapat dinafikan bahawa jika semua pelajar tidak mengira kaum boleh belajar bawah satu bumbung yang sama, ia perkara yang baik kerana dapat mengeratkan hubungan sesama kaum dan mengukuhkan perpaduan.

Akan tetapi, masalah perpaduan antara kaum yang kini wujud di negara Malaysia ini bukan disebabkan oleh sekolah vernakular tetapi kerana sebab-sebab yang lain.

Oleh itu, meskipun kita menghapuskan sekolah-sekolah vernakular, saya percaya masalah perkauman dan isu perpaduan masih akan wujud kerana ini bukan punca masalahnya.

Punca masalah isu perkauman dan perpaduan disebabkan oleh polisi negara ini. Kini walaupun kita sudah merdeka untuk 56 tahun, kerajaan yang diperintah oleh BN masih menggunakan teknik pemerintahan yang digunakan oleh British iaitu pecah dan perintah.

Ini amat jelas di mana parti komponen utama BN yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC hanya mempertahan dan berjuang untuk kaum yang diwakili masing-masing. Umno hanya untuk orang Melayu, MCA untuk orang Cina dan MIC untuk orang India.

Tidak percaya kaum lain

Ini secara langsung atau tidak langsung memberi persepsi kepada rakyat jelata di mana jika kita menghadapi apa-apa masalah, kita hanya boleh mendapatkan pertolongan daripada pemimpin kaum kita sendiri.

Ini juga secara tidak langsung menyebabkan kita melahirkan perasaan tidak percaya terhadap kaum lain lalu mengakibatkan salah faham, yang mana kita bahawa hanya orang Melayu akan menolong orang Melayu, orang Cina hanya akan menolong orang Cina dan orang India hanya akan menolong orang India.

Inilah punca masalahnya di mana kita akan melihat ketidaksamaan antara kaum dan kita akan melihat kaum yang lain sebagai entiti yang berbeza dan berasingan.

Punca masalah yang kedua adalah disebabkan oleh sesetengah pihak yang rasis dan tidak bertanggungjawab. Sesetengah pihak seperti bekas hakim Datuk Mohd Noor Abdullah yang mengeluarkan kenyataan rasis juga merupakan punca masalah perkauman dan perpaduan.

Apabila sesetengah pihak mengeluarkan kenyataan yang rasis dan berbaur perkauman, ia akan secara tidak langsung mengakibatkan kaum lain melahirkan kebencian bukan hanya terhadap individu tersebut tetapi juga kaum individu itu.

Lebih-lebih lagi jika tiada tindakan undang-undang yang diambil ke atas individu-individu ini dan pendakwaan selektif dilakukan ke atas individu-individu yang lain.

Bukan itu sahaja, apa yang lagi hipokrit ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memperkenalkan konsep 1Malaysia yang dilaung-langkan, timbalannya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran mengatakan beliau Malay first .

Jadi apa gunanya jika kita ingin menghapuskan sekolah vernakular bagi tujuan perpaduan tetapi pada masa yang sama, timbalan perdana menteri yang juga menteri pelajaran sendiri tidak mengerti maksud perpaduan?

Pendakwaan selektif

Apa yang lebih teruk lagi adalah apabila perdana menteri kita sendiri menyalahkan "tsunami Cina" bagi keputusan teruk pada PRU baru-baru ini.

Saya berasa amat kesal apabila pemimpin-pemimpin negara kita sanggup mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang begitu tidak bertanggungjawab sehingga ada daripada mereka yang sanggup mengatakan ini sebagai pengkhianatan sesetengah kaum.

Oleh itu, apa gunanya sekolah vernakular dihapuskan tetapi pemimpin-pemimpin negara kita sendiri tidak mengerti maksud perpaduan?

Jadi untuk mencapai perpaduan, apa yang kita perlu hapuskan sekarang bukanlah sekolah vernakular tetapi rasisme yang wujud di negara kita.

Pemimpin-pemimpin negara kita haruslah menunjukkan contoh yang baik dan tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang rasis dan tidak bertanggungjawab.

Pihak polis dan peguam negara haruslah menjalankan tugas secara adil dan mengambil tindakan terhadap kesemua mereka yang tidak bertanggungjawab ini tidak mengambil kira latar belakang mereka dan tidak melakukan pendakwaan selektif.

Hanya apabila kita dapat melihat tidak ada perbezaan antara kita, maka hanya pada masa itulah kita akan mencapai perpaduan.

Biarlah kita ingat bahawa kita kesemua ini tidak mengira kaum adalah anak Malaysia.

ADS