Isu 'rahsia besar' ini telah dimulakan oleh Setiausaha Parlimen Zainuddin Maidin atau Zam selaku pendokong kerajaan, yang dilihat cuba memasang jerat ke atas ahli Parlimen PAS bagi kawasan Baling, Taib Azamudden supaya mendedahkan apakah rahsia besar itu.

Bahan yang digunakan oleh Zam sebagai rujukan hanyalah bersumberkan kepada sebuah pita video yang dikatakan mengandungi rakaman pengakuan mangsa liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dengan disaksikan oleh Taib sendiri.

Bermakna, jika diikut logik akal, terdapat lebih daripada dua orang yang telah menjayakan rakaman pita video itu, termasuklah jurukamera dan hamba Allah lain yang hanya diketahui oleh Taib, mangsa liwat dan jurukamera tersebut.

Persoalannya sekarang, jika benarlah salah seorang daripada pelakon utama dalam rakaman tersebut ialah Taib, kenapa selaku orang yang dikenali ramai sebagai mufti dan ulamak, beliau tidak sanggup berdepan dengan realiti sebenar isu tersebut dan seterusnya mendedahkan apa yang telah berlaku berkaitan dengan rahsia besar itu?

Umum telah mengetahui DSAI sedang merengkok di penjara Sungai Buloh akibat apa yang didakwanya konspirasi jahat pihak atasan ke atas dirinya. Pastinya penyokong Barisan Alternatif (BA) terutamanya dari kalangan Parti Keadilan masih ingat akan perbicaraan kes DSAI dua tahun lalu di mana berpuluh-puluh saksi sama ada yang hidup mahupun benda mati telah dikemukan oleh pihak pendakwa.

Sehinggakan tilam DSAI turut diusung keluar masuk mahkamah untuk disoal siasat. Soalnya sekarang, kenapa pita video ini tidak dijadikan sebagi bahan bukti utama dan Taib pula tidak dipanggil untuk hadir sebagai saksi utama pihak pendakwa?

Jika dilihat dari segi relevannya bahan bukti itu, ianya sudah cukup untuk menjatuhkan hukuman ke atas DSIA mengikut undang-undang sekular hari ini dan tidak perlulah dijalankan perbicaraan panjang sehingga melampaui tiga, empat bulan.

Dan juga, kenapa sehingga hari ini, tiada orang Umno yang berani tampil ke hadapan untuk melaporkan kepada pihak polis akan rakaman pita video itu untuk dijadikan sebagai kes terbaru di samping kes-kes yang sedia ada?

Kita amat mengalu-alukan perkara ini, terutamanya pihak penulis yang berhajat untuk menyiarkan transkrip penuh perbualan mangsa liwat agar melaporkan penemuan bahan bukti ini kepada pihak polis. Jika BA berhujah dengan bukti yang kukuh, kami turut mengalu-alukan langkah yang serupa dibuat oleh pihak Umno supaya isu jelas buat masyarakat.

Jelas di sini, kewujudan pita video itu sendiri boleh dipertikaikan dan ini belum lagi kita sentuh soal kehadiran Taib seperti apa yang dilihat oleh penulis dalam pita video itu. Adakah ianya wujud semasa perbicaraan kes DSAI atau sebelum itu lagi sudah ramai yang mengetahui dan melihatnya?

Kerana peribahasa Melayu ada menyebut "Mulut tempayan boleh ditutup, inikan pula mulut manusia", lambat-laun orang akan tahu juga akan perangai buruk DSAI itu. Ataupun ianya telah dirakam semasa pilihanraya yang lalu? Atau selepas pilihanraya?

Semuanya berkemungkinan belaka. Seingat penulis ianya telah wujud semasa pilihanraya yang lalu dan disebarkan dengan meluasnya pada ketika itu sebagai langkah pihak tertentu untuk terus-terusan mengaibkan DSAI termasuk juga pihak BA.

Kenapa penulis beranggapan begitu? Kerana penulis sendiri pernah terdengar adanya kalangan pak lebai, makcik-makcik dan orang kampung yang dibawa ke Putrajaya telah disajikan dengan tayangan video itu semasa dalam perjalanan ke sana.