Banyak yang saya tidak setuju dengan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Datuk Dr Rais Yatim, terutama pembelaannya yang tidak masuk akal tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan puja-pujinya kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Tetapi kenyataannya tentang saman ekor melegakan ramai pihak. Dia kata bukan tugas orang ramai nak penat-penat beratur periksa rekod apakah mereka ada saman atau tidak.

Dan paling terkini ialah tentang kes-kes pecah amanah dan rasuah yang hanya heboh diperingkat awal, tetapi kemudiannya senyap begitu saja. Rais mendakwa pihak berkuasa bersikap 'hangat-hangat tahi ayam' ketika menjalankan siasatan kes-kes pecah amanah yang membabitkan individu atau organisasi tertentu.

Katanya lagi, terdapat beberapa kes yang 'panas' ketika di awal siasatan tetapi akhirnya senyap begitu sahaja walaupun terdapat bukti berlakunya penyelewengan dan fenomena ini seolah-olah menjadi satu trend dalam beberapa siasatan pecah amanah di negara ini sejak kebelakangan ini.

Orang ramai sebenarnya tidak tahu dan kebingungan mengapa banyak kes rasuah yang telah disiasat dan dikatakan mempunyai bukti itu hilang begitu sahaja. Malah pengadu yang mengemukakan bahan bukti ada kalanya langsung tidak dihubungi oleh pegawai-pegawai penyiasat.

BPR pula tidak pernah pun mengumumkan perkembangannya. Bila ditanya, alasan yang selalu diberikan ialah takut proses siasatan terganggu.

Saya tidak tahu kes mana yang Rais maksudkan. Tetapi kalau merujuk dakwaan kes rasuah Dr Mohd Khir Toyo, Menteri Besar Selangor, memang tepatlah kata Rais itu.

Begitu banyak aduan yang dibuat oleh Ahmad Lutfi Othman, penuh dengan fakta dan dokumen sokongan, dan pernah heboh isu ini pada peringkat awal. Akhirnya senyap saja. Tinggal Lutfi menjerit seorang diri. Sumber BPR sudah mengesahkan bahawa laporan siasatan kes ini telahpun dihantar kepada Perdana Menteri dan khabarnya dalam siasatan itu BPR mendapati ada asas kukuh untuk mendakwa Khir. Tetapi apa yang Mahathir buat dengan laporan siasatan yang telahpun berada di atas meja PM hampir tiga bulan lalu?

Lutfi membuat aduan pertama pada 23 Oktober 2001. Dia bukan membuat aduan secara umum tetapi memberikan dokumen yang boleh membantu siasatan secara lengkap. Pengadu, Lutfi, disoal-siasat, diambil keterangan, ditanya dari mana sumber maklumat diperolehi, tetapi suspek, Khir, bebas ke mana-mana.

Bagaimanapun dari satu sudut, insiatif pegawai-pegawai BPR langsung tidak dihargai. Sebahagian besar mereka menjalankan penyiasatan secara profesional, sekurang-kurangnya untuk mengetahui apa cerita sebenarnya.

Bayangkan seorang bekas Pegawai Daerah Kuala Langat yang terpaksa bersara awal kerana membantu permohonan anaknya untuk mendapat 50 ekar tanah di Kuala Langat, dan kes ini turut diadukan oleh Lutfi kepada BPR, terpaksa naik turun Pejabat BPR. Sedangkan di pihak Perdana Menteri, segala fail rasuah menteri di bawahnya hanya akan digunakan untuk tujuan politik, bukan untuk memastikan pentadbirannya telus, bersih dan bebas rasuah. Mana-mana menteri yang ada kes rasuah akan menjadi kuda tunggangan Mahathir. Khir akan terus dipertahankan — walaupun fail rasuahnya menimbun — jika dari segi politik dia tidak membawa masalah kepada Mahathir.

Oleh itu, saya rasa jika Rais benar-benar ikhlas dalam kerjanya, teguran yang tepat harus ditujukan kepada Mahathir sendiri, bukan kepada BPR atau polis. Jangan hanya berani tegur Pak Lah yang lembik dan mudah lupa itu.

Rais mesti berani buat reformasi dalam Umno. Bagi saya, seburuk-buruk Rais, hanya dialah yang berpotensi untuk melakukan perubahan dari dalam.