Pengiktirafan Amerika Syarikat kepada PM
Sebagai seorang rakyat Malaysia yang mengikuti dengan teliti isu keganasan dan kaitannya dengan agama Islam, saya amat tertarik dengan hasil lawatan YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ke Amerika Syarikat baru-baru ini.
Bagi saya, ia merupakan satu kejayaan besar bukan sahaja bagi negara Malaysia yang dikatakan berjaya 'memulihkan' sebarang prasangka yang pernah wujud di antara hubungan dua hala Malaysia-Amerika Syarikat; bahkan ia adalah satu tanda penghormatan kepada agama Islam.
Sayang sekali parti-parti pembangkang khususnya PAS cuba mempolitikkan isu ini dengan lantangnya menuduh bahawa lawatan ini hanyalah satu lawatan si anjing bertemu tuan, bahawa Mahathir ialah boneka Amerika Syarikat dan kita tiada pendirian tentang keganasan.
Pada pengetahuan saya, belum pernah ada seorangpun pemimpin negara Islam yang begitu berani menyindir Amerika Syarikat dan menyatakan pendapat secara terang dan tanpa prejudis terhadap keganasan dan pencerobohan Israel di Tebing Barat kecuali Mahathir.
Di dalam ucapannya sewaktu satu majlis makan malam di sana beliau dengan ikhlas dan jujur membidas dasar Amerika Syarikat yang menyokong Israel dan secara terang mengutuk tindakan rejim itu di Palestin.
Inikah yang dimaksudkan oleh PAS sebagai 'mencium tangan Bush'? Sedangkan Bush sendiri memperakui kejayaan Malaysia menangani isu keganasan di negara kita.
Nyata inilah kelebihan Mahathir bebanding pemimpin PAS yang hanya tahu berseloka dan berpolitik di dalam negeri, itupun kepada orang Melayu dan umat Islam sahaja. Sedangkan beliau begitu berani dan berpegang teguh kepada prinsip beliau untuk menyatakan sesuatu pendapat tanpa mengira risiko yang dihadapinya. Orang kata " that is the Mahathir way ".
Saya yakin dengan kepimpinan sebegini negara Malaysia bukan sahaja akan dapat menaikkan namanya di persada global, malah kita akan dapat membantu umat Islam sedunia di dalam usaha memperbetulkan pandangan manusia sejagat terhadap isu keganasan dan Islam ini.
Pertemuan yang bakal diadakan dengan Paus John Paul di Vatican City, Rome bulan depan ialah satu lagi pengiktirafan orang bukan Islam di dunia terhadap kewibawaan Mahathir dan kepimpinan negara Islam Malaysia. Dan ini diperakui sendiri oleh Mursyidul Am PAS YB Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Saya mencadangkan laman-lama web yang mendakwa diri mereka ''keepers of the justice'' dan ''bastions of freedom of speech and the truth'' termasuk Malaysiakini.com dan laman web parti-parti pembangkang mempamerkan ucapan Mahathir sewaktu majlis makan malam tersebut supaya semua rakyat Malaysia dan umat Islam dunia dapat menilai sendiri keikhlasan hati beliau di dalam mempertahankan agamanya di peringkat antarabangsa. Mungkin ia akan mengubah pandangan orang terhadap beliau, yang pernah dituduh kafir dan ejen asing.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.