Kenyataan Datuk Dr Rais Yatim, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri menegur pihak berkuasa berhubung kegagalan mendakwa beberapa kes besar yang membabitkan oraganisasi atau individu tertentu, ialah satu kenyataan yang membawa beberapa tafsiran dan pengertian.

Majoriti rakyat amat bersetuju dan menyangjung tinggi kenyataan seumpama ini. Inilah sebenarnya kenyataan seorang Menteri di dalam kabinet Dr Mahathir Mohamad yang dinanti-nantikan. Ketelusan ini sebenarnya amat dirindui oleh majoriti rakyat, terutamanya daripada seorang yang pernah dianggap sebagai 'pengampu' Mahathir.

Sudah sampai masanya kerajaan menerima hakikat bahawa apa yang dinyatakan oleh Rais itu keluhan dan bantahan daripada majoriti rakyat negara. Malangnya selama ini kenyataan seumpama itu datangnya dari pihak pembangkang dan sudah menjadi sebati dan menjadi darah daging kepimpinan kerajaan masakini, tidak akan mahu menerima atau pun mendengar sebarang keluhan dan bantahan daripada pembangkang, walau bagaimana benar atau sahihnya sesuatu masalah tersebut.

Utusan Malaysia dalam Lidah Pengarangnya mengingatkan Rais bahawa beliau (Rais) anggota kabinet dan sepatutnya pendapat itu disuarakan di dalam mesyuarat kabinet. Utusan secara tidak langsung menyarankan agar Rais terus menerus 'membohongi' rakyat dan bicarakan hanya di dalam kabinet yang disekat dan dilindungi dengan pelbagai akta dan undang-undang.

Sebagai rakyat, saya menyokong seribu peratus akan kenyataan Rais itu. Saya sudah mula tidak mahu memperdulikan peraturan dan etika yang harus diikuti oleh Rais. Persetankan etika kalau rakyat terus-menerus diperbodoh dan dimomokkan.

Kenyataan Rais dibuat beberapa hari selepas kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan Dato Shaik Daud Ismail membuat pengakuan dalam temuramah dengan malaysiakini mengenai tindakan beberapa hakim yang jelas menjejaskan imej badan kehakiman di negara ini, perlantikan hakim, keperibadian hakim dan penghakiman yang cuba diselewengkan. Ini bukan perkara baru dan sudah menjadi cerita dari mulut ke mulut. Adakah ianya akan didakwa sebagai 'fitnah' pembangkang lagi? Atau adakah isu seperti ini akan terus didakwa sebagai 'mainan politik' pembangkang?

Syabas, Dr Rais Yatim!