Banjir di kota, polis tak kisah
Semalam, Kuala Lumpur telah ditimpa hujan lebat yang bermula lebih kurang pukul 3.30 petang hingga ke pukul 9 malam. Seperti biasa, banjir kilat dan kesesakan lalulintas berlaku.
Dari pejabat saya di Komplek Pertama, saya lihat paras air semakin naik di sepanjang Jalan Dang Wangi menghala ke Jalan Ampang (dekat Balai Polis Dang Wangi), tetapi jalan tersebut masih dibuka untuk laluan kepada semua kenderaan.
Saya buat panggilan ke BP Dang Wangi dan diberitahu bahawa tugas untuk menutup laluan tersebut adalah tugas polis trafik. Saya pun buat panggilan ke BP Jln Bandar, tetapi diberitahu supaya buat panggilan ke BP Dang Wangi pula. Apabila saya maklumkan bahawa saya telahpun berbuat demikian tetapi dirujuk ke sini, anggota yang jawab panggilan saya memberitahu bahawa tugas tersebut tidak perlu cawangan trafik lakukan.
Jarak antara BP Dang Wangi ke laluan tersebut tidak sampai 300m. Saya rasa bukanlah satu perkara yang sukar untuk polis menghalang laluan kenderaan masuk ke jalan yang dinaiki air. Tidak perlu ramai kakitangan pun.
Amat sedih kerana apabila panggilan untuk hal lain seperti sambutan Hari Buruh pada 1 Mei 2002, perhimpunan aman, penghantaran memo ke Suhakam dan sebagainya, polis bertindak dengan pantas tanpa perlu merujuk ke mana-mana pihak, tetapi dalam perkara yang berkaitan dengan keselamatan awam seperti yang berlaku semalam, semua menuding jari antara satu sama lain.
"Cepat dan betul" kononnya cogankata polis. Tidak mungkin. Atau mungkin tiada orang yang bagi arahan supaya alasan "Saya hanya ikut arahan" boleh diterima. Namun begitupun, tunggu arahan dari siapa agaknya?
"Masyarakat prihatin" atau "Malaysia Boleh"?


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.