Sebuah parti Melayu yang akhirnya melutut kepada bangsa Siam untuk memenangi pilihanraya kecil tidak langsung membanggakan. Itulah hakikat yang ditelan Umno untuk memenangi kerusi Parlimen Pendang pada 18 Julai lalu.

Wajah sugul perdana menteri dan timbapan perdana menteri ketika ditemubual oleh sekutu propaganda Umno — TV3 — membayangkan kekecewaan mereka terhadap keputusan tersebut.

Bayangkanlah bagaimana, dengan bantuan polis, kerjasama Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), sokongan seluruh jentera kerajaan, mereka hanya menang dengan majoriti 283 undi.

Itupun setelah calon PAS, mendahului dari awal dan hanya tewas ketika saluran terakhir diumumkan. Maka wujud kecurigaan yang melampau, kerana jelas pada sesiapa yang berada di Pendang, termasuk penyokong Umno, mereka tidak akan menang di kawasan kubu PAS tersebut. Sokongan Melayu akar umbi untuk PAS.

Saya berkereta bersama rakan-rakan untuk melawat seluruh kawasan pilihanraya Pendang dan Anak Bukit. Ternyata PAS menguasai suasana di kedua-dua tempat tersebut. Bahkan lebih cemerlang di Pendang.

Bayangkan, sekitar jam 3 petang, tidak kelihatan lagi kereta yang membawa bendera Umno, pondok-pondok panas mereka hanya diduduki oleh sekumpulan kecil manusia ataupun kosong langsung.

Petugas-petugas mereka berkeliaran di markas-markas besar Umno dan BN. Ada yang pulang seawal jam 1 petang.

Sebaliknya, di jalan-jalan yang menyusur ke Pendang, deretan kenderaan mengibarkan bendera bulan mengambang berserta denga bunyi hon, lampu, goyangan tangan melambangkan semangat dan keyakinan mereka. Perarakan kemenangan dimulakan seawal jam 5 petang. Konvoi motorsikal, kereta dan van berderetan menyusur ke pekan Pendang.

Sesiapa yang berada di sana pasti yakin bahawa PAS akan menang di Pendang. Dan itulah keputusan sehingga saluran terakhir diumumkan. Tiba-tiba di semua saluran, calon Umno menang dengan majoriti lebih 100. Tiba-tiba datang peti-peti undi yang cukup mencurigakan dan berlainan dengan jumlah yang ada pada petugas PAS di stesen pengundian.

Dan dalam masa 15 minit, impian untuk merayakan kemenangan di dua kawasan pilihanraya tersebut hancur. PAS hanya menang di Anak Bukit dan tewas di Pendang. Tewas dengan "pukul curi" oleh Umno. Puluhan ribu penyokong PAS beransur pelahan-lahan pulang, membawa mimpi buruk, kekalahan di luar jangkaan.