Saya mengikuti dengan penuh minat segala komen yang telah diberikan oleh pelbagai pihak terhadap keputusan pilihanraya kecil Anak Bukit dan Pendang. Tetapi yang paling memualkan saya adalah komen dari Dr Mahathir sendiri apabila beliau mengulas tentang isu tersebut. Beliau bukan sahaja tidak berlandaskan fakta tetapi komen yang diberi boleh bertukar dalam masa semalaman!

Ketika malam keputusan pilihanraya tersebut diumumkan, beliau membuat kesimpulan bahawa kemenangan PAS adalah bukti sistem demokrasi masih diamalkan di Malaysia tetapi keesokannya ketika ditanya sekali lagi tentang isu tersebut, beliau mengatakan bahawa kemenangan PAS adalah hasil dari sikap agresif parti tersebut.

SPR ketika mengeluarkan butiran terperinci hasil dari pilihanraya tersebut menunjukkan bahawa peratusan keluar mengundi telah meningkat terutamanya dari kaum bukan Melayu. Kenyataan ini disokong oleh parti MCA tetapi yang menghairankan Dr Mahathir mempunyai kesimpulannya sendiri yang mengatakan kaum bukan Melayu telah takut untuk keluar mengundi akibat dari sikap kasar parti PAS dan ini menyebabkan BN kalah di Anak Bukit. Sekali lagi kenyataan beliau jauh meleset dari kenyataan awal oleh kuncu-kuncunya.

Isu calon juga menunjukkan bahawa parti Umno mengalami luka yang parah tetapi cuba disembunyikan oleh pemimpin mereka! Ketika ditanya adakah faktor calon menyebabkan BN kalah di Anak Bukit, beliau menafikannya sambil membuat perbandingan dengan diri beliau sendiri ketika menjadi calon selepas tewas suatu ketika dulu. Baru-baru ini, secara terbuka naib presiden Umno sendiri membuat pengakuan bahawa BN kalah akibat dari masalah dalaman parti sendiri, terutamanya tentang ketidakpuasan hati tentang calon yang dipilih! Nah..kini tepuk dada, tanya selera

Banyak lagi yang boleh dihuraikan tentang sikap Dr Mahathir yang semakin kusut ketika memberi ulasan tentang sesuatu isu. Mana mungkin rakyat lupa tentang kenyataan beliau bahawa bekas timbalannya lebam dimata akibat ditumbuk diri sendiri tetapi yang sebenarnya semua telah sedia maklum!

Saya akhirnya menyeru kepada semua pemimpin BN terutamanya Dr Mahathir supaya menerima dengan hati terbuka keputusan di Anak Bukit dan Pendang seperti yang ditunjukkan oleh pihak pembangkang.