Pelaksanaan penggunaan BI dipertikai
Memang tidak mengejutkan apabila parti komponen Barisan Nasional berbangsa Cina seperti Gerakan dan MCA dan juga pertubuhan Cina menentang pembelajaran Sains dan Matematik dilaksanakan di dalam Bahasa Inggeris.
Saya menyokong bantahan yang dibuat oleh pertubuhan dan parti komponen BN ini. Ini adalah kerana pelaksanaan penggunaan Bahasa Inggeris perlu dilakukan dengan lebih terperinci dan teratur bukan setakat melepaskan batuk ditangga.
Adalah memalukan kerana parti Umno sendiri yang sepatutnya memainkan peranan sebagai sebuah parti yang menjaga kepentingan orang Melayu (termasuk bahasa Melayu) tidak dapat bersuara dengan lantang menentang pelaksanaan ini.
Walaubagaimanapun, saya tidak menentang penggunaan bahasa Inggeris kerana ianya adalah bahasa universal, tetapi cara pelaksanaan yang bakal dibuat oleh Kementerian Pendidikan itulah yang dipertikaikan.
Saya bersetuju dengan MCA yang mengatakan bahawa sepatutnya ia dimulakan di sekolah menengah. Kementerian Pendidikan sepatutnya memberi ruang kepada pelajar untuk menguasai bahasa Inggeris ketika sekolah rendah.
Cara yang terbaik ialah dengan memanjangkan tempoh pembelajaran bahasa Inggeris di sekolah rendah dan bukan memaksa pelajar belajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah tanpa menguasai bahasa tersebut.
Matematik dan Sains ialah matapelajaran teknikal dan pelajar harus memahami konsep dari awal. Jika matapelajaran ini diajar di dalam bahasa Inggeris, ini akan menyukarkan pelajar kerana mereka terpaksa memahami bahasa itu dahulu sebelum memahami konsep dalam matapelajaran sains dan matematik.
Dalam keadaan sekarang, matapelajaran Sains dan Matematik walaupun dalam bahasa Melayu di sekolah rendah adalah sukar ditelaah. Inikan pula dalam bahasa Inggeris!.
Kerajaan harus lebih praktikal dalam pelaksanaan dan bukan melakukannya secara terburu buru. Ini adalah untuk kemudahan semua.
Saya yakin tidak ada hasrat pihak MCA, Gerakan mahupun DAP, PAS dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mempolitikkan isu ini, tetapi mereka mahu kerajaan mempertimbangkan keputusan ini dan melaksanakan proses ini dengan lebih praktikal dan teratur.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.