Tafsiran Keadilan 'tolak hudud' tidak betul
Merujuk kepada laporan yang disiarkan oleh malaysiakini bertajuk Keadilan's final stand: 'No' to hudud , dengan kesalnya kami memohon agar pihak Tuan untuk memperbetulkan laporan yang disiarkan.
Ini memandangkan Parti Keadilan Nasional tidak pernah membuat pendirian seperti mana yang dilaporkan oleh malaysiakini .
Kami menghormati kebebasan media untuk mendapatkan sumber-sumber berhubung dengan sesuatu laporan tetapi tidak dapat menerima kesalahan fakta yang boleh menyebabkan kekeliruan di kalangan para pembaca.
Pihak kami juga ingin mendapat penjelasan daripada pihak Tuan bagaimana pihak Tuan dapat mentafsirkan Parti Keadilan Nasional menolak hudud seperti yang dilaporkan.
Bersama-sama ini disertakan pendirian Parti Keadilan Nasional mengenai Enakmen Jenayah Syariah Negeri Terengganu yang dengan jelas menghormati langkah dan hak Negeri Terengganu dan Kelantan untuk melaksanakan enakmen berkenaan.
Pendirian Parti Keadilan Nasional mengenai Enakmen Jenayah Syariah (Hudud, Qisas dan Takzir) Kerajaan Negeri Terengganu yang diputuskan pada mensyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi 22 Ogos 2002.
MENYEDARI Parti Keadilan Nasional sebagai parti berbilang kaum yang memperjuangkan reformasi sistem negara ke arah mewujudkan Malaysia yang adil;
MENEGASKAN matlamat utama Keadilan untuk mewujudkan kerajaan yang baik dengan menggubal undang-undang yang adil, melaksanakan dasar secara saksama, demokratik dan telus serta terbuka kepada teguran rakyat;
MEMPERAKUI Keadilan secara umumnya menerima pakai Perlembagaan Persekutuan dan Kontrak Sosial 1957;
MENGINSAFI usaha memartabatkan kemanusiaan dengan memupuk nilai-nilai sejagat yang didukung oleh semua agama;
MENGGALAKKAN hidup beragama untuk membina tamadun dan masyarakat yang berakhlak mulia;
MAKA Parti Keadilan Nasional setelah mengadakan prebincangan mengenai Enakmen Jenayah Syariah (Hudud, Qisas dan Takzir) Kerajaan Negeri Terengganu membuat ketetapan:
- Menghormati langkah dan hak kerajaan Negeri Terengganu dan Kelantan yang dipilih secara demokratik oleh rakyat kedua-dua negeri, untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah.
Parti Keadilan Nasional berpendirian bahawa tidak ada umat Islam yang boleh menolak undang-undang syariah kerana ia merupakan tuntutan agama itu sendiri.
Dengan ketetapan ini, Keadilan meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan serta menjadikan polemik isu berkaitan dengan Enakmen Undang-undang Syariah Negeri Terengganu.
Nota Editor: Laporan malaysiakini semalam dibuat berasaskan maklumbalas dari sumber-sumber yang rapat dengan Keadilan selepas mesyuarat majlis tertinggi parti itu Khamis lalu. Menurut sumber-sumber tersebut, selaras dengan pendirian parti itu menyokong dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, maka ia bermaksud Keadilan tidak menerima pelaksanaan hukum hudud PAS.

