Perlu kebebasan media dalam DUN Perak
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak Datuk SK Devamani telah memohon maaf kerana tidak membenarkan wartawan untuk mengambil gambar sewaktu persidangan Dewan Negeri Perak berlangsung.
Beliau menuduh atau menyalahkan pihak pengawal yang ditugaskan di dewan tersebut kerana kesilapan itu.
Saya ingin mengingatkan Devamani bahawa ini bukanlah perkara baru. Sejak rampasan kuasa kerajaan Perak pada tahun 2009, banyak halangan diberikan oleh BN dan setiausaha kerajaan negeri kepada pihak wartawan.
Wartawan seharusnya bebas merakam setiap adgan yang berlaku dalam persidangan.
Oleh yang demikian mereka seharusnya ditempatkan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan bukannya di galeri pemerhati.
Sebelum 2009, semua wartawan diberi tempat duduk di dalam DUN untuk merakamkan persidangan.
Sekarang, mereka ditempatkan di galeri awam yang tidak sesuai untuk mengambil gambar dan perakaman semua percakapan dalam DUN.
Gambar-gambar yang diambil dari galeri pemerhati tidak berkualiti kerana terdapat cermin yang agak gelap.
Selain daripada itu, apabila sistem pembesar suara dipadamkan ketika berlaku perbahasan sengit atau kontroversi maka wartawan yang berada dalam galeri itu tidak dapat merakam apa-apa kerana bilik itu adalah kalis bunyi.
Perkara ini sering kali berlaku dalam DUN Perak. Wartawan tidak dapat mendengar perkara yang sebenar yang berlaku dalam Dewan.
Ini menyusahkan pihak wartawan dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Oleh yang demikian, saya mencadangkan supaya pihak media seharusnya ditempatkan dalam DUN dan bukannya di galeri pemerhati. Ini untuk menjamin kebebasan media.
BN tidak sepatutnya takut kepada media yang melaporkan perkara yang sebenar kepada rakyat.
Tambahan pula, media perdana dan media alternatif juga sepatutnya dibenarkan untuk membuat rakaman video.
Saya ingin menegur Devamani untuk bertindak adil kepada semua pihak terutamanya pihak media untuk menjamin ketelusan dan menegakkan demokrasi di DUN Perak.
V SIVAKUMAR bekas speaker Perak, ahli Parlimen Batu Gajah dan timbalan pengerusi DAP Perak.

