Sebagai pengurus laman web pro-reformasi, saya terpanggil untuk menjawab tuduhan bekas Panglima Angkatan Tentara Laut Malaysia, Tan Sri Abu Bakar Abdul Jamal bahawa penyokong reformasi meminta bantuan tentera untuk menggulingkan kerajaan.

Terlebih dulu, saya menasihatkan Abu Bakar supaya melengkapkan diri dengan kemahiran 'memfitnah' sebelum melemparkan tuduhan liar yang tidak berasa seperti itu.

Abu Bakar sebelum ini dipetik oleh akhbar-akhbar sebagai berkata beliau menerima surat dan emel dari penyokong reformasi dan kumpulan antikerajaan yang mahukan pihak tentera menjatuhkan kerajaan.

Walau bagaimanapun, dalam pendedahan itu, Abu Bakar berkata, surat-surat tersebut tidak dihantar secara rasmi, serta tidak mempunyai nama pengirim.

Ertinya surat yang diterima oleh Abu Bakar adalah surat layang. Melemparkan tuduhan berat ke atas sesuatu pihak berdasarkan surat layang adalah fitnah yang paling lekeh nilainya.

Saya berpendapat, ini adalah satu 'percubaan mengampu tetapi kekurangan idea'. Abu Bakar sepatutnya faham walaupun fitnah terhadap pembangkang dibenarkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), tetapi sekurang-kurangnya patutlah disertakan secara khusus nama orang yang hendak difitnah itu.

Fitnah menurut standard BN mestilah mempunyai nama orang yang hendak difitnah, seperti mana yang dilakukan oleh pemfitnah terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, fitnah RTM terhadap Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta yang lain-lain.

Untuk pengetahuan umum, Laman Reformasi juga menerima beratus-ratus emel tanpa nama pengirim yang sahih yang mendedahkan keburukan beberapa pegawai tinggi tentera termasuk Abu Bakar serta menteri pertahanan, tetapi tidak menyiarkannya kerana tidak mahu menjadi serendah bekas Panglima Tentera Laut itu.