Mahkamah Persekutuan telah menetapkan bahawa penahanan ISA 5 untuk 60 hari pertama mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah tidak sah kerana tiada bukti yang boleh mensabitkan mereka bersalah.

Dengan itu, mereka harus dibebaskan dengan segera. Tetapi malangnya, mahkamah tidak membebaskan mereka kerana menurut hakim, penahanan untuk Seksyen 8(1)Akta ISA adalah sah.

Kalau kita lihat dari prosedur penangkapan dan juga arahan untuk menahan mereka selama dua tahun, ianya berkait rapat. Jika yang mula sudah terbatal maka yang seterusnya sepatutnya batal.

Ianya seperti sembahyang lima waktu. Jika wuduk sudah terbatal, maka sembahyang secara automatik turut tidak sah. Kita tidak boleh kata sembahyang itu sah walaupun wuduk sudah terbatal.

Maka saya menyeru Kementerian Dalam Negeri, lakukanlah yang sewajarnya. Janganlah memalit muka itu dengan kekotoran lagi. Saya harap Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dapat membuktikan kepimpinan yang berkarismatik dan adil.

Buktikan kepada semua pengkritik Pak Lah bahawa Pak Lah tidak zalim dan tahu memimpin dengan bijaksana.

Lepaskanlah mereka (ISA 5) demi kesejahteraan dan kekuatan demokrasi di bumi Malaysia yang tercinta ini.