Memoir bangsa Malaysia
Baru-baru ini, kita dihebohkan dengan semangat perpaduan kaum. Maka dicadangkan supaya diwujudkan Sekolah Wawasan dan memasukkan topik harmoni kaum dalam mata pelajaran pendidikan Moral.
Turut dicadangkan ialah mewujudkan meritokrasi di pusat pengajian tinggi, meningkatkan penyertaan lebih ramai bukan Melayu dalam perkhidmatan polis, tentera dan perkhidmatan awam. Ini termasuklah rayuan daripada Suqui.
Saya ingin menceritakan memoirs saya untuk tatapan rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan dan mengimpikan wawasan sebagai anak Malaysia yang sejati.
Saya adalah dari sekolah aliran kebangsaan atau aliran Melayu di mana hampir peratus muridnya adalah bangsa Malaysia keturunan Melayu. Manakala selebihnya adalah bangsa Malaysia keturunan Siam, India dan Cina.
Saya juga menyertai perkhidmatan kerajaan dan hampir 95 peratus pegawainya adalah Melayu dan selebihnya Kadazan, Iban, India dan Cina. Saya berasa sungguh gembira dan bertuah kerana dapat bercampur-gaul dengan pelbagai etnik bangsa Malaysia.
Saya juga tiada masalah bergaul dengan keturunan Melayu, malah makan, minum dan tidur bersarung bantal bersama mereka. Rakan-rakan saya yang berketurunan Melayu pun terkejut dengan kebolehan saya berinteraksi dan makan dengan tangan, berulamkan sambal belacan.
Bagaimanapun, lama kelamaan kesangsian dan kecurigaan timbul apabila melihat rakan-rakan keturunan Melayu menikmati banyak faedah walaupun gaji dan pangkat yang sama. Saya mula cemburu dengan rakan-rakan sejawat yang berstatuskan bumiputera apabila mereka dapat melabur dalam Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan membeli rumah dengan mendapat diskaun 5 hingga 10 peratus. Wang mereka bertambah melalui pelaburan setiap tahun, tetapi kedudukan kewangan saya mengecil.
Oleh kerana gaji tidak mencukupi dan memikirkan masa depan anak-anak saya, maka saya bertekad berhenti dari perkhidmatan kerajaan dengan hati yang berat dan menyertai sector perniagaan.
Saya juga pernah diberitahu semasa lawatan ke institut pengajian tinggi bahawa penuntut keturunan Melayu cukup senang untuk mendapat biasiswa atau pinjaman kerajaan. Hati saya terguris sekali lagi kerana dianggap sebagai kelas kedua.
Dalam perniagaan, hati saya terguris lagi dengan syarat jika hendak mendapatkan kontrak-kontrak kerajaan, syarikat anda haruslah berstatuskan bumiputera. Apabila menyertai sektor perniagaan, rakan-rakan saya bertambah dari kalangan bukan Melayu.
Saban hari saya mendengar rintihan mereka mengenai ketidakadilan tersebut. Kebanyakan rakan-rakan saya yang berketurunan Cina mempunyai sifat-sifat keperibadian kaum yang tebal. Namun begitu, saya pernah cuba menasihati mereka supaya menwujudkan suasana harmoni tidak kira apa keturunan sekalipun, ke arah mewujudkan bangsa Malaysia dan Anak Malaysia yang sejati.
Tetapi dalam benak hati, saya masih curiga dan teraba-raba jawapannya...mungkin satu hari nanti kewujudan bangsa Malaysia akan menjadi satu kenyataan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.